KUALA LUMPUR: RHB Islamic Bank Bhd (RHB Islamic) memperkukuh peranannya dalam Kewangan Sosial Islam menerusi pelancaran sebuah laman web khas yang memberi penekanan kepada ketelusan dan penglibatan komuniti, khususnya golongan asnaf dan B40.
Pengarah Urusannya, Datuk Adissadikin Ali, berkata pelancaran laman web itu mencerminkan komitmen baharu bank berkenaan dalam menyokong kemampanan sosial dan ekonomi negara.
"Laman ini menjadi pusat maklumat kepada pelbagai inisiatif sosial RHB Islamic, membolehkan orang ramai mengikuti aliran dana, kisah kejayaan penerima manfaat dan turut serta dalam program ditawarkan.
"Ia selari dengan aspirasi kami untuk membina ekosistem dermawan yang berimpak tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adissadikin, RHB Islamic percaya kejayaan kewangan mesti disandarkan pada tanggungjawab sosial yang kukuh dan disokong oleh prinsip Maqasid al-Shariah.
Sejak 2017, bank itu telah menyalurkan zakat, wakaf dan sedekah melalui empat teras utama: Pemerkasaan Ekonomi, Pemerkasaan Pendidikan, Kelestarian Komuniti dan Inisiatif Hijau.
Penyaluran dana juga menunjukkan peningkatan, daripada RM1.06 juta pada 2022 kepada RM1.43 juta pada 2024, sekali gus membuktikan pertumbuhan berterusan komitmen bank terhadap masyarakat.
Antara program utama ialah B40 Education Empowerment Programme (BEEP), B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (BEST-BYOB), serta Inisiatif Masjid Hijau yang dijalankan bersama rakan strategik seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Melalui platform digital baharu itu, pelanggan dan penderma boleh memantau status projek secara langsung, manakala penerima manfaat pula berpeluang berkongsi kemajuan mereka.
"Ketelusan adalah teras utama tadbir urus sosial kami," jelas Adissadikin.
RHB Islamic menyasarkan untuk memperkasa sekurang-kurangnya 10,000 individu daripada kumpulan asnaf dan B40 menjelang 2030 menerusi akses pendidikan, latihan keusahawanan dan sokongan ekonomi yang berstruktur.
"Saya berharap peserta yang dibantu hari ini akan menjadi penyumbang zakat pada masa depan. Itulah kejayaan sebenar apabila mereka yang dibantu, kelak mampu membantu pula orang lain," katanya.
Sebagai sebahagian daripada kumpulan perbankan yang memiliki lebih 13,000 kakitangan di tujuh pasaran ASEAN, RHB Bank Bhd terus menegaskan komitmennya terhadap inovasi inklusif dan pertumbuhan mampan.
