KUALA LUMPUR: Anak syarikat Quality Concrete Holdings Bhd (QCHB), QC Construction & Engineering Sdn Bhd (QCCE) menerima kontrak daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) melibatkan kerja-kerja bernilai RM91.48 juta.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, kontrak berkenaan membabitkan pembangunan Pakej 1 Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), yang merangkumi projek infrastruktur jalan raya di Bukit Goram, Katibas, Ngemah dan Machan.
"Tempoh selesai kontrak ini selama 24 bulan bermula Januari 2026, dan ia tertakluk kepada risiko pembinaan yang biasa seperti turun naik harga bahan. QCCE akan mengurangkan risiko berkenaan dengan berkesan menerusi pengalaman dan kepakarannya dalam projek pembinaan.
"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak," katanya.
-BERNAMA
