KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki kejatuhan semalaman Wall Street yang dipengaruhi kemerosotan saham berkaitan teknologi serta sentimen berhati-hati pelabur.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.70 mata atau 0.28 peratus kepada 1,679.83 daripada 1,684.35 ketika ditutup pada Selasa. Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.75 mata kepada 1,681.78.
Secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 119 berbanding 106, manakala 279 kaunter tidak berubah. Sebanyak 2,182 kaunter tidak diniagakan dan 41 digantung. Jumlah dagangan mencecah 86.18 juta unit bernilai RM41.84 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup rendah selepas sentimen pasaran terjejas oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang terbaharu, yang menunjukkan perbezaan pandangan dalam kalangan pegawai Fed mengenai hala tuju penurunan kadar faedah pada masa depan.
Di peringkat tempatan, beliau berkata sentimen pasaran kekal berdaya tahan, disokong oleh pengumpulan berterusan oleh institusi tempatan meskipun aliran keluar bersih dana asing masih berterusan.
"Bagaimanapun, penyertaan pelabur runcit kekal lemah seperti dicerminkan oleh nilai dagangan harian yang rendah. Kami percaya keadaan ini berpotensi bertambah baik secara berperingkat apabila kecairan meningkat, khususnya dalam segmen saham permodalan besar.
"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks akan diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,690," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM10.46, manakala CIMB, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut tiga sen kepada RM8.20, RM4.51 dan RM8.57. Tenaga Nasional pula tidak berubah pada RM13.78.
Bagi saham paling aktif, MQ Technology dan AHB masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen dan 3.5 sen. Zetrix dan Perak Transit susut setengah sen masing-masing kepada 81.5 sen dan 27.5 sen, manakala Mega Fortris meningkat satu sen kepada 89 sen.
Dalam senarai saham mencatatkan kenaikan tertinggi, Hap Seng melonjak lapan sen kepada RM2.90, manakala Kein Hin dan Country View menokok enam sen masing-masing kepada RM1.29 dan RM2.99. Yoong Onn pula meningkat lima sen kepada RM1.58.
Saham mencatatkan kejatuhan terbesar menyaksikan Vitrox susut tujuh sen kepada RM4.08, manakala United Plantations dan SD Guthrie masing-masing turun enam sen kepada RM30.18 dan RM5.69. Press Metal dan QL Resources merosot empat sen masing-masing kepada RM7.18 dan RM3.79.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.38 mata kepada 12,301.17, Indeks FBMT Top 100 turun 27.98 mata kepada 12,108.41 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 17.90 mata kepada 12,101.67. Indeks FBM Mid 70 turun 12 mata kepada 16,818.45, manakala Indeks FBM ACE meningkat 3.38 mata kepada 4,864.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 57.82 mata kepada 19,708.97, Indeks Tenaga merosot 0.98 mata kepada 767.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.04 mata kepada 173.79, manakala Indeks Perladangan turun 16.06 mata kepada 8,326.13.
– BERNAMA
