Shah Alam: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, secara rasmi melancarkan penggunaan kenderaan autonomi (AV) konsep pertama Pos Malaysia, sambil memberi jaminan bahawa inovasi tersebut tidak akan menyebabkan pengurangan pekerja.
Beliau menegaskan bahawa adaptasi teknologi tinggi bertujuan untuk memperkasakan kecekapan operasi dan membantu tugasan harian, bukannya mengorbankan punca pendapatan tenaga kerja sedia ada.
"Inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang menyediakan dana khas sebanyak RM50 juta yang diumumkan pada Oktober tahun lalu bagi menyokong kelangsungan Universal Service Obligation (USO) serta "Postal Services Fund" kini diaktifkan selepas 14 tahun bagi membantu Pos Malaysia dan pemain industri kurier lain melaksanakan transformasi digital secara mampan.
"Sebagai pemegang amanah tunggal USO, Pos Malaysia memikul tanggungjawab berat untuk menghubungkan setiap alamat di Malaysia dan integrasi teknologi AI serta kenderaan autonomi ini dijangka dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan servis, sekali gus menjadikan Pos Malaysia sebagai model rujukan global dalam mengimbangi teknologi dan kesejahteraan manusia," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Sementara itu Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, kerjasama strategik dengan Autonomous Logistic Solutions (ALS) melalui teknologi Zelos adalah langkah berani untuk memacu keupayaan logistik tanpa pemandu di peringkat tempatan.
"Zelos adalah kenderaan autonomi elektrik 100 peratus dengan Teknologi Autonomi Tahap 4 yang mampu memandu sendiri secara sepenuhnya dalam persekitaran terkawal dan penggunaan teknologi ini akan dimulakan secara fasa Proof of Concept (PoC) selama enam bulan di Pusat Mel Nasional bagi menguji keberkesanannya sebelum diperluaskan," katanya.
Dari sudut teknikal, operasi kenderaan autonomi ini disokong penuh oleh rangkaian 5G daripada Digital Nasional Berhad (DNB) dan sambungan berkelajuan tinggi dan latensi rendah adalah sangat kritikal bagi memastikan komunikasi masa nyata antara kenderaan dan sistem kawalan dapat berjalan dengan selamat dan tepat di jalan raya.
Menurutnya, transformasi digital syarikat sejak 2021 telah membuahkan hasil luar biasa, dengan prestasi penghantaran hari berikutnya kini melebihi 90 peratus malah, tahap kepuasan pelanggan (Retail NPS) mencecah 97 peratus, membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan tetap menjadi keutamaan di tengah-tengah pemodenan ini.
"Selaras dengan agenda kelestarian, projek ini juga memperkukuhkan kedudukan Pos Malaysia sebagai pemilik armada elektrik (EV) terbesar di negara ini dengan 1,262 motosikal dan 280 van elektrik sedia ada, dan syarikat kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penukaran 100 peratus armada kepada EV menjelang tahun 2030.
"Bagi memastikan ekosistem hijau yang menyeluruh, Pos Malaysia turut memasang panel solar di fasiliti utama dan usaha ini bukan saja mengurangkan jejak karbon operasi, malah menyokong visi kerajaan dalam membina industri logistik yang lebih bersih dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.