Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, lepasi paras tertinggi 2019

BeritaHarian Thu, Jan 22, 2026 06:19pm - 2 weeks View Original


Gambar fail. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Gambar fail. - NSTP/ASWADI ALIAS.

KUALA LUMPUR: Sentimen positif terhadap keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), selain ketidaktentuan geopolitik yang semakin reda, menyokong prestasi indeks penanda aras Bursa Malaysia yang ditutup lebih tinggi hari ini.

Indeks itu turut melepasi paras tertinggi sebelumnya pada 1,713.45 mata yang dicatatkan pada 27 Februari 2019.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.33 mata atau 0.66 peratus kepada 1,717.14 daripada 1,705.81 pada penutupan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 8.08 mata lebih tinggi pada 1,713.89 dan bergerak antara paras terendah intra hari 1,711.29 pada awal dagangan serta paras tertinggi 1,717.66 pada sesi pertengahan pagi.

Prestasi pasaran keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 622 berbanding 435, manakala 589 kaunter tidak berubah, 1,066 kaunter tidak diniagakan dan sembilan digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.81 bilion unit bernilai RM3.41 bilion berbanding 2.94 bilion unit bernilai RM3.14 bilion pada Rabu.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.

BNM menyatakan pendirian dasar monetari semasa adalah sesuai dan menyokong ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga.

Sehubungan itu, dalam latar belakang dasar monetari yang akomodatif secara menyeluruh serta pengunduran tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap beberapa ekonomi Kesatuan Eropah, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi pasaran hari ini adalah kukuh dengan kenaikan meluas merentasi semua segmen.

Beliau berkata, meskipun Wall Street di Amerika Syarikat mengalami pembetulan ketara baru-baru ini, FBM KLCI kekal berada dalam wilayah positif dengan momentum berterusan sehingga sesi dagangan hari ini.

"Walaupun pasaran mungkin masih memerlukan beberapa hari isyarat pendamaian sebelum benar-benar bergerak melepasi episod Greenland, perhatian kini beralih secara beransur-ansur kepada pemacu makroekonomi dan dasar menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang akan datang.

"Tumpuan semula ini boleh menyebabkan pasaran global kekal selektif, khususnya apabila keadaan pasaran buruh Amerika Syarikat yang semakin stabil terus menyokong kecenderungan dasar yang berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Dalam konteks itu, beliau berpandangan daya tahan relatif Malaysia terserlah, disokong asas makroekonomi yang kukuh sekali gus menyediakan landasan struktur yang mantap untuk pertumbuhan pendapatan korporat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM11.22, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.78, CIMB meningkat lapan sen kepada RM8.30, RHB Bank melonjak 14 sen kepada RM8.13, manakala Press Metal Aluminium naik 10 sen kepada RM7.50.

Bagi saham paling aktif, SMRT meningkat satu sen kepada 20 sen, Velesto Energy menambah 2.5 sen kepada 31.5 sen, Nationgate melonjak 19 sen kepada RM1.19, Tanco naik dua sen kepada RM1.31, manakala Zetrix AI susut setengah sen kepada 81 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Nestle meningkat RM1.40 kepada RM117, Allianz Malaysia naik RM1.08 kepada RM22.66, United Plantations bertambah 42 sen kepada RM30.72, LPI Capital meningkat 32 sen kepada RM15.40, dan Hong Leong Bank menambah 28 sen kepada RM24.20.

Bagi kaunter rugi utama, Fraser & Neave susut 16 sen kepada RM36.00, Petronas Gas turun 10 sen kepada RM18.70, Solarvest berkurang sembilan sen kepada RM2.81, Atlan merosot 13 sen kepada RM2.72, dan Kein Hing International turun sembilan sen kepada RM1.21.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ALLIANZ 22.580
BURSA 8.990
FBMKLCI 1738.460
HLBANK 24.800
KEINHIN 1.250
LPI 15.180
NESTLE 111.900
PBBANK 4.970
PETGAS 18.380
RHBBANK 8.170
UTDPLT 29.660
VELESTO 0.310
ZETRIX 0.760

Comments

Login to comment.