KUALA LUMPUR: AirAsia X menyasarkan penstrukturan semula hutang antara AS$500 juta hingga AS$600 juta selepas syarikat penerbangan tambang rendah itu minggu ini membeli perniagaan penerbangan jarak dekat milik Capital A, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Farouk Kamal.
AirAsia X, sekutu penerbangan jarak sederhana kepada AirAsia di bawah Capital A, merancang untuk menggabungkan tujuh syarikat penerbangan di bawah satu jenama.
"Kami juga sedang meneliti pelbagai inisiatif pembiayaan semula … untuk memanjangkan tempoh pinjaman, mengurangkan kos faedah dan menyatukan semua instrumen hutang kami kepada satu atau dua instrumen pinjaman," kata Farouk dalam satu temu bual.
Kumpulan AirAsia menjadi antara pengendali syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia sejak penubuhannya pada 2001.
Namun begitu, sekatan perjalanan akibat pandemik telah menjejaskan teruk pendapatan syarikat induknya, Capital A, sehingga mendorong Bursa Malaysia mengklasifikasikannya sebagai syarikat yang menghadapi kesukaran kewangan.
Penyatuan semua perniagaan penerbangan berjenama AirAsia di bawah AirAsia X akan membolehkan syarikat-syarikat penerbangan terbabit memberi tumpuan kepada pengembangan operasi dan pengurangan kos, sementara Capital A menumpukan usaha memulihkan kedudukan kewangannya.
AirAsia X merancang untuk memulakan penerbangan ke London seawal pertengahan tahun ini, kata Farouk, lebih sedekad selepas kali terakhir ia mengendalikan penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick dan Stansted di ibu negara Britain itu.
Syarikat penerbangan itu melancarkan penerbangan ke Istanbul pada November lalu.
Ia juga akan membangunkan sebuah hab di Bahrain bagi meningkatkan kesalinghubungan ke Asia Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika, menurut Farouk.
AirAsia X menjangkakan penerimaan penghantaran empat pesawat Airbus A321LR jarak jauh tahun ini, yang akan membolehkannya mengembangkan operasi ke luar Asia, tambah Farouk.
Syarikat penerbangan yang memiliki armada seramai 255 pesawat itu, pada Julai lalu telah menempah 50 pesawat A321XLR jarak lebih jauh serta memperoleh hak untuk menukar 20 pesawat yang sedia ditempah kepada model pesawat lorong tunggal.
Ia juga sedang bekerjasama dengan pengeluar pesawat bagi pesawat jenis serantau, kata Farouk, ketika mempertimbangkan untuk menempah tambahan 150 pesawat lagi.
Selepas penyatuan, AirAsia X menyasarkan pendapatan jangka terdekat hampir AS$6 bilion, selain margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 20 peratus serta faktor muatan penumpang melebihi 80 peratus, kata Ketua Pegawai Kewangan, Low Kar Chuan, dalam temu bual yang sama.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk melangsaikan semua pinjaman bank yang diberikan semasa pandemik COVID-19, ketika sekatan perjalanan kerajaan menjejaskan teruk pendapatan, dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
-Reuters
