Kuala Lumpur: Dasar kerajaan yang bersasar, menyeluruh dan konsisten dilihat menjadi pemacu utama kepada ketahanan serta pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, khususnya melalui langkah yang memberi sokongan langsung kepada pendapatan rakyat dan permintaan domestik.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah memadai dan berkesan untuk menyokong ekonomi, tanpa keperluan mendesak untuk memperkenalkan langkah luar biasa seperti beberapa tahun terdahulu.
Katanya, bantuan tunai SARA RM100 contohnya memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat dapat merasai secara langsung manfaat pertumbuhan ekonomi negara.
"Kita sering dengar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, tetapi jika tiada pengagihan tunai, rakyat mungkin tidak merasainya. SARA RM100 ini adalah antara cara untuk menghubungkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat," katanya pada taklimat media Unjuran Makro Ekonomi 2026 AmBank di sini, semalam.
Firdaos berkata, inisiatif seperti Budi Madani RON95 (BUDI95) pula menyumbang kepada sokongan permintaan domestik, khususnya bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dan mengekalkan perbelanjaan isi rumah.
Selain itu, beliau menegaskan, kenaikan gaji penjawat awam menjadi antara dasar paling signifikan kerana membabitkan kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh negara.
Katanya, peningkatan pendapatan kumpulan besar itu akan memberi kesan berganda kepada perbelanjaan domestik dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
"Secara keseluruhan, saya berpandangan, gabungan dasar kerajaan yang mantap, sokongan pendapatan rakyat melalui SARA, BUDI95 dan kenaikan gaji penjawat awam, serta kestabilan dasar monetari meletakkan ekonomi negara pada kedudukan kukuh untuk terus berkembang, dengan risiko lebih tertumpu kepada faktor geopolitik luar," katanya.
Dari sudut prestasi ekonomi, Firdaos berkata, pertumbuhan KDNK negara pada suku keempat tahun lalu mencatatkan 5.7 peratus, mengatasi jangkaan konsensus ahli ekonomi sebanyak 5.4 peratus.
Beliau menambah, masih terdapat potensi peningkatan kepada prestasi terbabit susulan pertumbuhan ekonomi yang baik pada Disember, sekali gus mencerminkan asas ekonomi yang kukuh memasuki tahun semasa.
Bagi keseluruhan tahun ini, AmBank mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus, satu kadar yang dianggap stabil dan selari dengan keadaan ekonomi semasa.
Firdaos berkata, kekuatan ekonomi domestik turut disokong oleh penggunaan swasta yang mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus.
Pada masa sama, katanya inflasi kekal rendah pada paras 1.9 peratus, iaitu di bawah purata jangka panjang, sekali gus memberi ruang kepada isi rumah untuk terus berbelanja.
Dari segi pasaran buruh, beliau berkata, kadar pengangguran negara berada pada paras 2.9 peratus, mencerminkan keadaan pasaran pekerjaan yang sihat.