Kuala Lumpur: Forum Ekonomi Malaysia yang dijadual berlangsung di sini, Februari ini perlu memberi penekanan kepada pelan pelaksanaan dasar ekonomi negara, khususnya bagi menangani peningkatan kos sara hidup dan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, kata Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.
Beliau berkata, dari sudut makro, asas ekonomi negara pada 2026 dilihat kekal kukuh dan stabil dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif, peningkatan perdagangan serta lebihan dagangan yang berterusan.
"Inflasi negara juga berada pada paras terkawal di bawah 1.5 peratus, manakala kadar pengangguran sekitar tiga peratus, ini menunjukkan kestabilan ekonomi secara keseluruhan masih terpelihara," katanya kepada Bisnes Metro.
Katanya, namun cabaran sebenar ekonomi negara kini lebih tertumpu kepada isu mikro yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk kos sara hidup yang meningkat, ketidaksepadanan pekerjaan dengan kelayakan graduan, jurang wilayah, selain keperluan membangunkan silver economy bagi menangani isu penuaan penduduk.
Beliau berkata, isu sekuriti makanan dan kenaikan kos perubatan yang meningkat setiap tahun perlu menjadi agenda utama perbincangan forum ekonomi kali ini.
"Ketidaktentuan ekonomi global pada 2026 kekal sebagai cabaran utama, dipacu konflik geopolitik yang berlarutan seperti perang Rusia-Ukraine serta ketegangan geopolitik lain yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global," katanya.
Menurutnya, sebagai negara ekonomi terbuka yang bergantung kepada pasaran eksport, Malaysia terdedah kepada risiko luaran dan perlu memastikan kerjasama erat antara kerajaan, peniaga serta pelabur tempatan bagi mengekalkan daya saing dan kemampanan ekonomi negara.
"Pertumbuhan ekonomi domestik ketika ini disokong oleh dasar fiskal kerajaan dan dasar monetari yang seiring bagi memastikan kecairan tunai mencukupi, namun kebergantungan tinggi kepada import makanan menjadi risiko struktur jangka panjang.
"Malaysia membelanjakan lebih RM75 bilion setahun untuk import makanan, walaupun ringgit menunjukkan pengukuhan, ia masih belum mampu menstabilkan harga makanan import kerana kos pengeluaran di negara pembekal turut meningkat," katanya.
Beliau berkata, krisis geopolitik global turut menjejaskan bekalan makanan dunia, termasuk kesan konflik Rusia-Ukraine terhadap harga gandum dan jagung serta ketegangan membabitkan Venezuela yang mempengaruhi harga minyak mentah global dan inflasi.
Sehubungan itu katanya, kerajaan disaran melaksanakan dasar sekuriti makanan secara serius, termasuk memodenkan sektor pertanian dengan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti secara mampan.
"Sektor teknologi maklumat (IT) juga berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) besar melalui semikonduktor dan pusat data.
"Kini tiba masanya kerajaan memberi tumpuan sama kepada sektor pertanian moden dan berteknologi tinggi," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, forum ekonomi perlu merangka pelan strategik khusus bagi sektor pertanian supaya Malaysia dapat membina ekosistem makanan yang berdaya saing, mandiri dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.