QL Innofood Park bernilai RM1.3 bilion perkukuh keterjaminan makanan negara

BeritaHarian Mon, Jan 26, 2026 12:35pm - 1 month View Original


Ahmad Zahid (lima dari kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah QL Innofood Park di Hutan Melintang - Foto BERNAMA
Ahmad Zahid (lima dari kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah QL Innofood Park di Hutan Melintang - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembangunan hab pengeluaran makanan bersepadu QL Innofood Park di Hutan Melintang, Perak dilihat sebagai inisiatif strategik jangka panjang yang berperanan memperkukuh keterjaminan makanan negara, di samping meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperluas opsyen pendapatan QL Resources Bhd.

MBSB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, projek yang membabitkan pelaburan keseluruhan RM1.3 bilion itu akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh 10 tahun, sekali gus menandakan perluasan signifikan keupayaan pembuatan QL melangkaui operasi sedia ada.

-Advertisement-
Skip
Ads by

"QL Innofood Park akan menjadi inisiatif jangka panjang yang bertujuan memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia melalui pembuatan makanan protein halal bernilai tambah dan berskala," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Majlis pelancaran hab pengeluaran bersepadu itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

MBSB Research berkata, taman perindustrian berkenaan akan dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 40.47 hektar, dengan perancangan menempatkan 13 kemudahan pengeluaran yang disokong oleh utiliti bersepadu, logistik serta gudang penyimpanan.

Dari segi kapasiti, MBSB Research menjangkakan pembangunan QL Innofood Park akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan segmen makanan kumpulan kepada kira-kira 180,000 tan, berbanding 50,000 tan sedia ada di Hutan Melintang.

Katanya, peningkatan sebanyak 130,000 tan itu mewakili pengembangan sekitar 2.5 kali ganda, sekali gus memperkukuh keupayaan QL untuk menyokong permintaan domestik dan pertumbuhan eksport, khususnya bagi produk protein berasaskan soya, ayam dan tepung.

Sementara itu, fasa awal pembangunan dijangka memfokuskan kepada pembinaan infrastruktur teras dengan peruntukan kira-kira RM300 juta, merangkumi kemudahan storan sejuk, utiliti dan logistik, yang disasarkan siap menjelang separuh kedua 2027.

Selain itu, kumpulan merancang memperuntukkan sekitar RM100 juta setahun bagi pembinaan loji pengeluaran secara berperingkat, selari dengan peningkatan permintaan serta tahap kesiapsiagaan operasi.

MBSB Research berkata, penerapan teknologi Industry 4.0 dan elemen kelestarian sejak peringkat awal pembangunan akan menyokong kecekapan operasi serta kebolehskalaan jangka panjang, di samping mengukuhkan daya saing kos kumpulan.

"Dalam jangka panjang, pembangunan QL Innofood Park dijangka meningkatkan opsyen pendapatan kumpulan menerusi peluasan kapasiti dan kepelbagaian portfolio protein, sekali gus mewujudkan aliran pendapatan yang lebih mampan," katanya.

Bagaimanapun, MBSB Research mengekalkan pandangan berhati-hati dalam jangka terdekat, memandangkan impak kewangan projek berkenaan dijangka lebih ketara dalam tempoh sederhana hingga panjang, selari dengan pelaksanaan berfasa serta struktur perbelanjaan modal kumpulan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MBSB 0.695
QL 3.950

Comments

Login to comment.