KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tidak dapat mengekalkan peningkatan awalnya apabila ditutup lebih rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung selepas pasaran mencatat kenaikan baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.44 mata atau 0.31 peratus kepada 1,742.82 daripada 1,748.26 semasa penutup semalam. Indeks dibuka rendah 1.84 mata kepada 1,746.42 dan kemudiannya mencecah paras tertinggi harian 1,751.22 sebelum merosot ke paras terendah 1,740.49 pada sesi pertengahan petang.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 602 berbanding 462, manakala 558 kaunter tidak berubah, 1,013 kaunter tidak diniagakan dan enam kaunter digantung dagangan. Jumlah dagangan menyusut kepada 2.59 bilion saham bernilai RM2.86 bilion berbanding 3.25 bilion saham bernilai RM3.34 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks serantau utama kebanyakannya meningkat berikutan jualan dalam saham teknologi diimbangi oleh minat baharu terhadap kaunter perindustrian, kewangan dan tenaga.
"Sementara itu, sentimen pelabur kekal berwaspada selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menamakan bekas gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Kevin Warsh, sebagai pilihannya untuk menjadi Pengerusi Fed yang seterusnya. Pendirian beliau yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah menguatkan jangkaan bahawa kadar faedah kekal tinggi dalam tempoh lebih panjang," katanya kepada Bernama.
Di dalam negara, Thong berpendapat aktiviti pengambilan untung hari ini adalah penurunan sementara yang baik bagi membolehkan pasaran menyesuaikan diri dengan kenaikan sebelum ini dan membina asas lebih kukuh untuk kenaikan seterusnya. "Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan antara 1,730 dan 1,760," katanya.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan pula berkata, penurunan FBM KLCI hari ini mencerminkan limpahan sentimen daripada pasaran global.
"Prestasi semalaman di Wall Street menyaksikan saham teknologi mendahului penyusutan apabila pelabur menilai semula penilaian tinggi dalam sektor berkaitan kecerdasan buatan dan perisian. Walaupun FBM KLCI tidak mempunyai pendedahan langsung kepada sektor teknologi, penanda aras global terus menjadi penambat sentimen. Oleh itu, sentimen untuk mengelakkan risiko dalam sektor teknologi global menyumbang kepada aktiviti pengambilan untung merentasi pasaran serantau, termasuk Malaysia," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 8 sen kepada RM8.96, Public Bank susut 4 sen kepada RM4.91, CIMB turun 6 sen kepada RM8.50, Tenaga Nasional berkurangan 2 sen kepada RM14.10 manakala Maybank kekal RM11.94.
Bagi saham paling aktif, NetX dan Tanco masing-masing meningkat 1 sen kepada 5.5 sen dan RM1.34, Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 80 sen manakala Pharmaniaga dan Capital A tidak berubah pada 32.5 sen dan 59.5 sen.
Antara saham paling untung, United Plantations meningkat 62 sen kepada RM29.80, Fraser & Neave naik 56 sen kepada RM35.36, Dutch Lady Milk Industries menokok 24 sen kepada RM33.52, QL Resources naik 16 sen kepada RM4.16, dan Hong Leong Financial Group meningkat 14 sen kepada RM22.76.
Sementara itu, Malaysian Pacific Industries mencatat penurunan terbesar dengan susut 56 sen kepada RM32.50, diikuti Petronas Dagangan turun 36 sen kepada RM19.96, Nestle susut 30 sen kepada RM111.90, Pentamaster menurun 13 sen kepada RM3.19, dan Sunway Construction Group merosot 12 sen kepada RM6.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 24.71 mata kepada 12,572.61, FBM Emas merosot 22.70 mata kepada 12,753.71, FBM Emas Shariah rendah 11.57 mata kepada 12,286.0, FBM ACE merosot 10.90 mata kepada 4,696.15 manakala FBM Mid 70 meningkat 31.14 mata kepada 17,508.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 42.14 mata kepada 21,482.31, Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.86 mata kepada 176.58 manakala Indeks Perladangan meningkat 11.90 mata kepada 8,384.95 dan Indeks Tenaga naik 5.83 mata kepada 755.91.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menurun kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM3.06 bilion pada Selasa. Dagangan waran merosot kepada 650.30 juta unit bernilai RM81.10 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM123.86 juta sebelumnya. Dagangan Pasaran ACE susut kepada 409.26 juta unit bernilai RM121.48 juta daripada 504.24 juta unit bernilai RM148.01 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 224.67 juta saham, perindustrian 214.17 juta, pembinaan 155.29 juta, teknologi 190.27 juta, perkhidmatan kewangan 109.96 juta, hartanah 202.63 juta, perladangan 25.14 juta, amanah pelaburan hartanah 27.41 juta, dana tertutup 361,900, tenaga 72.23 juta, penjagaan kesihatan 198.43 juta, telekomunikasi dan media 47.94 juta, pengangkutan dan logistik 37.18 juta, utiliti 26.66 juta dan amanah perniagaan 366,200.
– BERNAMA
