KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, meneruskan penyusutan sederhana apabila sentimen global yang negatif menjejaskan selera risiko pelabur.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.80 mata atau 0.68 peratus kepada 1,731.02 daripada 1,742.82 pada penutupan semalam.
Penanda aras pasaran dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,745.82 dan seterusnya mencecah paras tertinggi intra hari 1,747.18 pada awal dagangan sebelum merosot ke paras terendah intra hari 1,731.02 ketika ditutup.
Dalam pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 922 berbanding 279 dengan 472 kaunter tidak berubah, 981 kaunter tidak diniagakan dan 15 digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.83 bilion unit bernilai RM3.66 bilion berbanding 2.59 bilion unit bernilai RM2.86 bilion semalam.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata penurunan pasaran tempatan didorong terutamanya oleh limpahan luaran, khususnya kelemahan merentasi pasaran ekuiti serantau, ketika pelabur terus menilai semula risiko penilaian dalam saham berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
"Di peringkat tempatan, keadaan ini diterjemahkan kepada penggiliran sektor secara meluas dan pengambilan untung susulan kenaikan indeks baru-baru ini dengan tekanan jualan ketara dalam utiliti, saham berkaitan perindustrian, penjagaan kesihatan, pembinaan dan tenaga, manakala sektor kewangan relatif lebih berdaya tahan.
"Poket kekuatan dalam sektor hartanah dan beberapa kaunter berorientasikan hasil memberikan sokongan terhad, sekali gus mencerminkan pengimbangan semula kedudukan pelabur dan bukannya peralihan sepenuhnya kepada mod mengelak risiko," katanya.
Mohd Sedek berkata, selain itu, dari perspektif teknikal, FBM KLCI kekal disokong di atas zon 1,730, yang muncul sebagai penambat psikologi dan teknikal jangka pendek.
"Walaupun berlaku penyusutan hari ini, indeks terus diniagakan dengan selesa di atas purata pergerakan utamanya, menandakan aliran menaik yang lebih luas masih utuh.
"Petunjuk momentum pula sederhana selepas kenaikan kukuh sebelum ini, selari dengan fasa penyatuan dan bukannya pembalikan trend," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat 2.0 sen kepada RM8.52, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.90, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.98, IHH Healthcare jatuh 19 sen kepada RM8.77, manakala Maybank tidak berubah pada RM11.94.
Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI merosot 10.5 sen kepada 69.5 sen, Pharmaniaga turun 3.5 sen kepada 29 sen, Capital A berkurang 2.0 sen kepada 57.5 sen, manakala MMAG dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 5.0 sen dan RM1.34.
Antara kaunter untung tertinggi, Nestle meningkat RM1.10 kepada RM113.00, Petronas Dagangan naik 40 sen kepada RM20.36, Southern Acids menokok 16 sen kepada RM3.50, dan Batu Kawan menambah 12 sen kepada RM19.62.
Fraser & Neave mendahului senarai rugi dengan susut RM1.48 kepada RM33.88, Malaysian Pacific Industries jatuh 50 sen kepada RM32.00, United Plantations merosot 82 sen kepada RM28.98, Petronas Gas berkurang 40 sen kepada RM18.10, dan Hong Leong Industries susut 26 sen kepada RM16.78.
Di papan indeks, FBM Top 100 Index turun 100.66 mata kepada 12,471.95, FBM Emas Index merosot 109.29 mata kepada 12,644.42, FBM Emas Shariah Index lemah 160.68 mata kepada 12,125.32, FBM ACE Index turun 61.80 mata kepada 4,634.35, dan FBM Mid 70 Index jatuh 210.37 mata kepada 17,298.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 8.27 mata kepada 21,474.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.05 mata kepada 174.53, Indeks Perladangan merosot 42.57 mata kepada 8,342.38, dan Indeks Tenaga berkurang 15.26 mata kepada 740.65.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM3.32 bilion berbanding 1.53 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Rabu.
Dagangan waran melonjak kepada 1.07 bilion unit bernilai RM1.33 bilion daripada 650.30 juta unit bernilai RM81.10 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 482.17 juta unit bernilai RM204.19 juta daripada 409.26 juta unit bernilai RM121.48 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 296.79 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (281.20 juta), pembinaan (190.34 juta), teknologi (529.01 juta), perkhidmatan kewangan (99.19 juta), hartanah (236.51 juta), perladangan (38.38 juta), amanah pelaburan hartanah (23.89 juta), dana tertutup (23,000), tenaga (137.11 juta), penjagaan kesihatan (291.54 juta), telekomunikasi dan media (37.09 juta), pengangkutan dan logistik (74.27 juta), utiliti (43.04 juta) dan amanah perniagaan (281,200).
-BERNAMA
