Sime Darby Property catat untung sebelum cukai RM803.4 juta, jualan cecah RM4.2 bilion

HarianMetro Fri, Feb 27, 2026 12:57pm - 1 month View Original


Kuala Lumpur: Sime Darby Property Berhad, menutup tahun kewangan 2025 (TK2025) dengan prestasi kewangan tertinggi pernah direkodkan apabila mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM803.4 juta, disokong jualan rekod RM4.2 bilion yang melepasi sasaran tahunan sebanyak 17 peratus.

Prestasi kukuh itu turut diterjemahkan melalui peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak tiga peratus tahun ke tahun kepada RM517.7 juta, manakala hasil dan keuntungan operasi masing-masing mencecah RM4.2 bilion dan RM895.3 juta.

Seiring pencapaian itu, kumpulan turut mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 3.20 sen sesaham bagi TK2025, mencerminkan komitmen berterusan dalam memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kejayaan mencatat jualan melebihi RM4 bilion selama dua tahun berturut-turut serta PBT tertinggi pernah direkodkan membuktikan keberkesanan pelaksanaan strategi SHIFT25.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami memperkukuh enjin pembangunan teras dan pada masa sama mengembangkan sumber pendapatan berulang.

"Pendekatan ini memberi keupayaan kepada kami untuk mengemudi ketidaktentuan pasaran sambil terus menjana nilai kepada pemegang kepentingan," katanya pada sidang media pengumuman prestasi Sime Darby Property secara maya di sini, hari ini.

Menurutnya, segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama kumpulan dengan hasil RM3.9 bilion dan PBT RM763.9 juta, dipacu momentum jualan kukuh serta kemajuan konsisten projek di perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, City of Elmina dan Serenia City.

Sementara itu, segmen pelaburan dan pengurusan aset mencatatkan prestasi terbaik dengan hasil RM183.9 juta dan PBT RM48.1 juta, disokong sumbangan kukuh aset runcit serta tambahan aset perindustrian susulan pengambilalihan strategik.

Bagi TK2025, produk perindustrian muncul sebagai penyumbang jualan terbesar pada kadar 36 peratus atau RM1.5 bilion, mencerminkan permintaan berterusan terhadap aset logistik dan perindustrian berkualiti tinggi.

Jualan kediaman bertanah dan bertingkat tinggi masing-masing menyumbang 26 peratus dan 24 peratus, manakala komersial sebanyak 13 peratus.

Setakat 31 Disember 2025, jualan belum dibil kekal kukuh pada RM3.9 bilion, menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh tiga tahun akan datang. Inventori siap tidak terjual pula kekal rendah pada RM191.1 juta, mencerminkan pengurusan inventori yang berdisiplin.

Sime Darby Property turut mengekalkan penarafan AA+IS dengan tinjauan stabil bagi program Sukuk Musharakah bernilai RM4.5 bilion untuk tahun kelima berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.

Azmir berkata, bagi tahun kewangan 2026, kumpulan menyasarkan jualan RM4 bilion dengan perancangan pelancaran kira-kira RM4.7 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV), disokong prospek ekonomi domestik yang stabil serta persekitaran kadar faedah yang menggalakkan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai impak prestasi ringgit kepada operasi syarikat, beliau berkata, kumpulan berdepan tekanan margin berikutan peningkatan kos operasi sepanjang 2025 meskipun pengukuhan ringgit memberi sedikit kelegaan dari sudut kos import bahan mentah.

Katanya, kenaikan kos membabitkan tenaga kerja, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan tarif elektrik baharu memerlukan syarikat lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan.

"Ketidaktentuan harga input global juga menuntut pengurusan margin keuntungan secara lebih berdisiplin bagi memastikan prestasi kewangan syarikat kekal mampan.

"Pengukuhan ringgit terhadap harga hartanah bukanlah penentu utama kerana kadar pertukaran asing hanya salah satu daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi kos keseluruhan," katanya.

Menurutnya, ringgit yang kukuh membantu mengurangkan kos import bahan mentah, namun turun naik harga bahan binaan dan input lain tetap perlu diuruskan dengan teliti sebelum sebarang pelarasan harga dibuat.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SIMEPROP 1.300

Comments

Login to comment.