Sime Darby Property sasar jualan RM4 bilion tahun ini

BeritaHarian Fri, Feb 27, 2026 12:30pm - 1 month View Original


Gambar fail. Datuk Seri Azmir Merican. - NSTP/ AHMAD UKASYAH
Gambar fail. Datuk Seri Azmir Merican. - NSTP/ AHMAD UKASYAH

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd dijangka meneruskan momentum pertumbuhan kukuh pada 2026 dengan sasaran jualan RM4 bilion, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican.

Beliau berkata, peneraju pembangunan komuniti terancang itu turut merancang melancarkan hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM4.7 bilion tahun ini merangkumi pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, pelancaran itu membabitkan pembangunan perbandaran yang mewakili 56 peratus daripada keseluruhan GDV, diikuti pembangunan bersepadu (26 peratus) dan portfolio Australia (18 peratus).

Katanya, syarikat menyasarkan untuk mengekalkan margin keuntungan kasar pada paras 25 peratus selain memastikan nisbah hutang kepada ekuiti sekitar 0.5 kali.

Tambah beliau, sejajar pendekatan berdisiplin, stok siap akan dikekalkan di bawah 10 peratus, selaras parameter yang menjadi amalan konsisten syarikat sejak beberapa tahun lalu.

"Momentum merentasi produk dan perbandaran kami kekal kukuh. Kami mempunyai segmen runcit yang semakin berkembang.

"Kami mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) yang semakin berkembang, di mana perniagaan pelaburan kami dijangka berkembang dengan agak kukuh dalam beberapa tahun akan datang, dengan penyerahan pusat data dan juga portfolio runcit yang semakin kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya bagi mengumumkan prestasi kewangan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Syarikat itu mencatatkan satu lagi prestasi kewangan dan operasi pada paras rekod, mencerminkan pelaksanaan berdisiplin serta daya tahan mampan dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, ia merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) tertinggi sebanyak RM803.4 juta dengan jualan rekod RM4.2 bilion.

Keuntungan bersih meningkat tiga peratus kepada RM517.7 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala hasil dan keuntungan operasi masing-masing berjumlah RM4.2 bilion dan RM895.3 juta.

Syarikat turut mengisytiharkan dividen keseluruhan 3.20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

"Kami telah mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh pada tahun kewangan 2025, dengan PBT tertinggi sebanyak RM803 juta, disokong oleh lembaran imbangan yang mantap serta komitmen pulangan yang konsisten.

"Menuju ke depan, kami yakin untuk mencapai sasaran jualan yang lebih agresif," kata Azmir.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SIMEPROP 1.300

Comments

Login to comment.