CUCKOO Malaysia isytihar dividen sulung sebanyak 1.84 sen sesaham

HarianMetro Sat, Apr 11, 2026 08:16am - 6 months View Original


HOE Kian Choon ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Cuckoo 2026 di The Linc, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO

Kuala Lumpur: CUCKOO International (MAL) Berhad mengumumkan dividen sulung sebanyak 1.84 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), melepasi sasaran dasar pembayaran dividen syarikat.

Jumlah pembayaran dividen itu mencecah RM26.4 juta, bersamaan kira-kira 25.1 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM105.2 juta yang dicatatkan bagi tempoh berkenaan.

Pengagihan berkenaan bukan sahaja mengatasi dasar minimum 20 peratus, malah mencerminkan komitmen syarikat dalam memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham sambil mengekalkan keupayaan kewangan untuk menyokong pertumbuhan masa depan.

Dividen akhir itu dijadual dibayar pada 15 Mei 2026 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendeposit setakat 27 April 2026.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, prestasi kukuh syarikat didorong oleh kualiti pendapatan serta daya tahan aliran tunai yang membolehkan Lembaga Pengarah mengumumkan agihan melebihi dasar ditetapkan.

"Tumpuan kami pada TK2025 adalah memastikan kualiti pendapatan dan kekuatan aliran tunai, keuntungan RM105.2 juta membolehkan kami mengembalikan RM26.4 juta kepada pemegang saham.

"Pada masa sama, kami kekal berdisiplin dalam peruntukan modal dengan menyeimbangkan agihan dividen dan pelaburan semula bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, syarikat akan terus memberi fokus kepada pengukuhan platform penyelesaian kediaman sihat berasaskan model perkhidmatan dan sewaan, selari dengan strategi memperkukuh penciptaan nilai jangka panjang.

CUCKOO Malaysia menetapkan dasar dividen dengan sasaran pembayaran sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keuntungan bersih boleh agih setiap tahun kewangan, tertakluk kepada keperluan modal kerja, perbelanjaan penyelenggaraan serta komitmen pelaburan masa depan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

CKI 0.365

Comments

Login to comment.