Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2025 sebanyak 4.1 peratus, tertinggi dalam tempoh 11 tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan peruntukan RM505.68 juta berbanding RM439.87 juta tahun sebelumnya dan akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit Simpan SSPN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan kadar dividen menunjukkan kecekapan PTPTN mengurus dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum.
Beliau berkata, pada tahun 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM3.3 bilion, berbanding RM3.17 bilion pada tahun 2024.
"Selain itu, lebih 500,000 pembukaan akaun baharu direkodkan tahun lalu, menjadikan keseluruhan deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2025 berjumlah RM23.88 bilion.
"Prestasi ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan serta membuktikan sokongan pendeposit Simpan SSPN terus kekal utuh," katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengumuman dividen 4.1 peratus itu menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004 kini mencecah RM2.63 bilion.
Beliau berkata, kadar dividen berkenaan juga lebih tinggi berbanding 4.05 peratus yang diumumkan pada 2024, sekali gus mencatat kadar tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.
"Peningkatan ini turut disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah sama ada jangka pendek dan panjang di pasaran wang serta sukuk tempatan yang mengekalkan prinsip perlindungan modal di samping menawarkan pulangan kompetitif.
"Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk berjaya meningkatkan pulangan pelaburan," katanya.
Norliza berkata, pulangan itu juga dilihat kompetitif dibandingkan kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia kekal pada 2.75 peratus sepanjang tahun 2025.
Katanya, agihan dividen berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit dan semakan boleh dibuat melalui aplikasi MyPTPTN bermula esok.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas sokongan berterusan terhadap PTPTN serta usaha memperkukuh instrumen simpanan pendidikan negara.
"Keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN terus diperkukuh dengan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, geran sepadan serta jaminan kerajaan selain patuh syariah.
"Kerajaan juga bersetuju memperluaskan kriteria pemberian geran sepadan kepada keluarga berpendapatan RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun, membolehkan permohonan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga.
"Selain itu, PTPTN turut menganjurkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM1.4 juta kepada 954 pemenang bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini," katanya.