KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) memeterai perjanjian penggunaan jeti (JUA) dengan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMTSB) bagi menggunakan jeti Terminal Penggasan Semula Ketiga (RGT-3) di Lumut, Perak.
RGT-3 direka bentuk dengan kapasiti penyimpanan gas asli cecair (LNG) sebanyak 170,000 meter padu serta kapasiti penghantaran keluar penggasan semula sebanyak 500 juta kaki padu standard sehari (MMscfd).
Menurut PGB, JUA itu menetapkan terma dan syarat penggunaan jeti yang akan disediakan oleh LMTSB mengikut amalan pasaran standard.
"RGT-3 akan dibangunkan berdasarkan konsep unit penyimpanan dan penggasan semula terapung (FSRU), iaitu proses penyimpanan dan penggasan semula gas asli cecair akan dijalankan di FSRU.
"LNG yang digaskan semula kemudiannya akan diangkut menerusi saluran paip penghubung dari kemudahan daratan RGT-3 dan disalurkan ke sistem penggunaan gas Semenanjung," katanya dalam kenyataan hari ini.
PGB berkata transaksi itu penting bagi pembangunan RGT-3 kerana selari dengan strategi pertumbuhan syarikat sebagai penyedia infrastruktur gas dan utiliti.
"Ia menyokong pembangunan dan kebolehpercayaan infrastruktur gas yang berterusan di Semenanjung Malaysia.
"Projek ini akan meningkatkan kapasiti serta fleksibiliti rangkaian bekalan gas untuk memenuhi keperluan permintaan negara yang sentiasa berubah," katanya.
Menurut syarikat itu, JUA berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan pembangunan projek RGT-3 dan tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham utama.
"Walaupun pelaburan dalam projek ini mungkin meningkatkan tahap kadar hutang kumpulan, ia dijangka tidak memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham PGB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," tambahnya.
