Malton beli tanah di JB pada harga RM97.23 juta, berpotensi dimajukan jadi projek apartmen servis

BeritaHarian Wed, Jun 03, 2026 09:47pm - 1 week View Original


Malton Bhd
Malton Bhd

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Malton Bhd, Bukit Rimau Development Sdn Bhd, mencadangkan pengambilalihan sebidang tanah pegangan bebas seluas 1.5 hektar di Johor Bahru pada harga RM97.23 juta.

Pemaju hartanah itu berkata, anak syarikatnya telah menandatangani perjanjian bersyarat dengan Tanjung Nakhoda (M) Sdn Bhd untuk membeli tanah berkenaan, yang terletak bersebelahan Johor Golf and Country Club dan berada dalam pembangunan komersial bersepadu baharu yang dikenali sebagai W City Larkinton.

"Cadangan pengambilalihan ini memberi peluang kepada kumpulan untuk memperoleh sebidang tanah utama di Johor Bahru yang telah menyaksikan peningkatan aktiviti pembangunan, dengan beberapa pemaju hartanah lain telahpun memperoleh tanah dan memulakan pembangunan di kawasan terbabit," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Malton, syarikat telah menjalankan penilaian awal terhadap potensi pembangunan tanah itu yang dijangka melibatkan apartmen servis kediaman.

Berdasarkan harga jualan pasaran apartmen servis di kawasan sekitar, nilai pembangunan kasar (GDV) projek dianggarkan sekitar RM950 juta.

Bagaimanapun, syarikat masih belum memuktamadkan butiran pembangunan termasuk nama projek, jumlah unit, kos pembangunan keseluruhan, tarikh jangkaan mula dan siap pembangunan serta sumber pembiayaan bagi kos pembangunan terbabit.

Malton berkata, semua perkara itu hanya akan ditentukan selepas kelulusan pembangunan diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

"Dengan penyerahan projek Mutiara Hilltop kami baru-baru ini di Puchong, Selangor, serta pelancaran projek-projek terkini tahun ini yang merangkumi Nova Business Hub (Sungai Buloh), Mutiara Lake Puchong (Puchong), Mutiara Kempas (Johor Bahru), The Hill Residences (Seremban), selain pelancaran akan datang Ukay Spring (Ampang), adalah penting untuk kumpulan melaksanakan aktiviti pembelian tanah bagi memastikan bank tanah yang sihat demi kelestarian bahagian pembangunan hartanah kumpulan.

"Cadangan pengambilalihan ini akan memperkukuh usaha penambahan semula bank tanah pembangunan kumpulan," katanya.

Malton turut menyatakan keyakinan terhadap potensi pembangunan tanah itu berdasarkan kejayaan projek Mutiara Kempas, iaitu projek apartmen servis pertama kumpulan di Johor Bahru yang mencatat kadar pengambilan sebanyak 70 peratus sejak pratonton projek itu pada April tahun ini.

Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, Malton berkata cadangan pengambilalihan tersebut dijangka diselesaikan menjelang suku pertama tahun 2027.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.610
MALTON 0.260

Comments

Login to comment.