KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Pan Merchant Bhd, PMI-Technology Sdn Bhd diberikan kontrak bernilai RM26.49 juta daripada REI OOE Consortium Sdn Bhd (ROC) untuk pembangunan Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) di Selangor.
Syarikat kejuruteraan penapisan cecair pepejal itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Gamuda M&E Sdn Bhd memberitahu ROC mengenai pelantikan PMI sebagai pembekal yang dicalonkan untuk pembekalan, penghantaran, penyeliaan pemasangan, penyeliaan ujian dan pentauliahan mesin penapis serta peralatan sampingan untuk Pakej Proses 2.
"Skim Bekalan Air Sungai Rasau merupakan pembangunan infrastruktur air strategik yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan air jangka panjang dan menangani permintaan air yang semakin meningkat di seluruh Selangor.
"Sebagai salah satu projek rawatan air utama negeri, pembangunan Peringkat 1 ini dijangka membekalkan sehingga 700 juta liter air bersih setiap hari ke wilayah Klang, dan anggaran peningkatan sehingga 20.9 peratus dalam margin rizab air, sekali gus menjamin bekalan air yang mampan untuk penduduk setempat," kata Pan Merchant.
Anugerah ini menandakan satu lagi kejayaan bagi perniagaan penyelesaian penapisan dan penyahairan Pan Merchant selain kedudukan kumpulan itu sebagai penyedia peralatan proses kritikal misi yang dipercayai untuk sektor infrastruktur air Malaysia.
Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten, berkata anugerah itu menggambarkan keyakinan yang diletakkan ke atas keupayaan teknikal kumpulan dan rekod prestasi terbukti dalam menyampaikan penapisan khusus serta penyelesaian penyahairan enap cemar bagi kemudahan rawatan air perbandaran berskala besar.
"Anugerah ini dijangka menyumbang secara positif kepada tempahan dalam tangan kami dan kami mengharapkan lebih banyak projek akan datang daripada pelaburan yang semakin meningkat dalam sektor infrastruktur air serta alam sekitar Malaysia," katanya.
-BERNAMA
