KUALA LUMPUR: Cuckoo International (MAL) Bhd (Cuckoo Malaysia) melancarkan pelan induk tanggungjawab sosial korporat (CSR), Projek Cuckoo Loves, Cares, selain memperkenalkan Cuckoo Dream Fund bernilai RM100,000 bagi menyokong bakat kreatif muda tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata pelan induk itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan pertumbuhan perniagaan bergerak seiring dengan sumbangan kepada komuniti, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan yang lebih strategik.
Beliau berkata, dana RM100,000 itu menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi setiap projek kreatif kepada individu berusia antara 15 hingga 30 tahun dalam pelbagai bidang termasuk kandungan digital, muzik, seni visual, seni persembahan dan penganjuran bengkel kreatif.
"Melalui Projek Cuckoo Loves, Cares, kami mahu menyusun semula semua usaha CSR di bawah satu kerangka yang jelas supaya impaknya lebih besar dan lebih berfokus kepada komuniti," katanya pada majlis pelancaran program itu hari ini.
Cuckoo turut melantik Firdhaus sebagai Sahabat CSR Cuckoo yang pertama bagi menggalas peranan sebagai duta inisiatif kebajikan syarikat, selain menjadi mentor kepada peserta Cuckoo Dream Fund.
Permohonan bagi kitaran pertama dana itu dibuka mulai 1 Julai hingga 30 September 2026 membabitkan peruntukan RM50,000, manakala baki RM50,000 akan disalurkan menerusi kitaran kedua yang akan diumumkan kemudian.
Dalam perkembangan lain, Kian Choon berkata Cuckoo akan terus menumpukan usaha memperkukuh perniagaan teras isi rumah, memperluaskan saluran jualan omnichannel serta memperhebat strategi jualan silang sebagai pemacu pertumbuhan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Beliau berkata, segmen isi rumah kekal sebagai penyumbang utama pendapatan syarikat dengan model sewaan terus menjadi kekuatan utama perniagaannya.
Katanya, antara peluang pertumbuhan terbesar ialah meningkatkan jualan kepada pelanggan sedia ada menerusi penawaran lebih banyak produk dalam portfolio syarikat.
"Kebanyakan pelanggan kami ketika ini hanya menggunakan satu produk. Justeru, strategi jualan silang merupakan antara peluang pertumbuhan terbesar yang masih belum diterokai sepenuhnya," katanya.
Selain itu, Cuckoo akan terus mengembangkan perniagaan dalam segmen komersial dengan menawarkan penyelesaian penapis air kepada pelanggan korporat termasuk hotel, restoran dan kafe.
Syarikat itu juga memperluaskan rangkaian produk menerusi kerjasama strategik dengan Samsung Malaysia dengan menawarkan produk seperti televisyen dan peti sejuk melalui pelan sewaan, sekali gus menjadikannya lebih mampu milik dan mudah diakses pengguna.
Pada masa sama, Cuckoo akan terus memperkukuh strategi omnichannel dengan meluaskan capaian pelanggan melalui platform e-dagang serta media sosial termasuk TikTok.
Mengulas prestasi kewangan, Kian Choon berkata pengukuhan nilai ringgit turut menyumbang kepada peningkatan margin keuntungan, di samping usaha berterusan syarikat meningkatkan kecekapan operasi.
"Kami mahu memastikan setiap perbelanjaan memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang optimum, di samping terus membina model perniagaan yang lebih berdaya tahan," katanya.
