KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Careplus Group Bhd, Careplus Properties Sdn Bhd (CPSB) akan menjual Careplus Mall, sebuah kompleks peruncitan satu tingkat di Seremban termasuk tanahnya pada harga RM42 juta.
Careplus melalui makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata CPSB telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Delloyd Asset Portfolio (M) Sdn Bhd berkaitan pelupusan hartanah itu.
Pengilang peranti perubatan itu berkata, pelupusan ini memberi peluang kepada kumpulan untuk membuka kunci nilai dan mengewangkan pelaburannya dalam hartanah terkait.
"Cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan proforma kira-kira RM2.09 juta kepada syarikat. Selain itu, kumpulan telah memperuntukkan lebih kurang RM13.36 juta daripada hasil yang akan diterima bagi pembayaran balik penuh pinjaman bank kumpulan," katanya.
Pembayaran balik pinjaman bank akan dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh selesai pelupusan.
"Manakala, RM27.31 juta daripada jumlah kutipan akan digunakan dalam tempoh 24 bulan selepas siapnya cadangan pelupusan bagi pembinaan hab pembuatan kenderaan tenaga (NEV) baharu dan pembelian peralatan.
"Walaupun perniagaan utama kumpulan adalah perniagaan sarung tangan, kumpulan itu juga telah menceburi perniagaan kenderaan elektrik (EV) sejak 2023.
"Kumpulan itu kini sedang membina hab pembuatan dan/atau pemasangan NEV di atas tanah pembangunan perindustrian yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan, seluas kira-kira 73.34 ekar," katanya.
Tambah Careplus, RM1.33 juta lagi akan digunakan sebagai anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan pelupusan dan akan dipakai dalam tempoh 24 bulan.
Cadangan pelupusan itu dijangka tidak akan menyebabkan syarikat itu melanggar Nota Amalan 17 (PN17) atau syarikat tunai, dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham memandangkan nisbah peratusan tertinggi terpakai ialah kira-kira 19.42 peratus.
"Selain keadaan yang tidak dijangka, pelupusan itu dijangka selesai menjelang penghujung 2026," katanya lagi.
-BERNAMA