Oleh Wartawan BH
KUALA LUMPUR: GTA Holdings Bhd merancang mempelbagaikan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangannya ke segmen gear pendaratan, roda dan brek bernilai tinggi bagi memperluaskan portfolio perkhidmatan syarikat.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pelan pertumbuhan jangka panjang yang akan dibiayai menggunakan hasil terbitan awam menerusi tawaran awam permulaan (IPO) GTA di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi, berkata peluasan ke segmen baharu berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti operasi serta memperkukuh kedudukan syarikat sebagai penyedia MRO penerbangan bersepadu.
"Hasil daripada terbitan awam akan digunakan secara strategik untuk menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang kami melalui penubuhan kemudahan operasi baharu, pengembangan jejak MRO helikopter kami ke Timur Tengah dan kepelbagaian keupayaan kami ke dalam segmen MRO gear pendaratan, roda dan brek bernilai tinggi," katanya.
Beliau berkata sebahagian hasil terbitan awam turut diperuntukkan bagi keperluan modal kerja dan pembayaran perbelanjaan penyenaraian, selain menyokong pelaksanaan rancangan pengembangan syarikat.
"Pelaburan ini dijangka akan mengembangkan kapasiti operasi kami, meluaskan portfolio perkhidmatan sokongan penerbangan kami dan membuka peluang pertumbuhan baharu merentasi pasaran antarabangsa," katanya.
GTA kini menerusi anak syarikat milik penuhnya menyediakan perkhidmatan MRO penerbangan khusus, terutama membabitkan enjin helikopter dan pesawat sayap tetap, alat ganti serta komponennya.
Anak syarikat berkenaan beroperasi di Pusat Helikopter Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam segmen penerbangan yang dikawal selia serta misi kritikal.
Pelanggan syarikat merangkumi pengendali penerbangan, syarikat berkaitan MRO dan pasaran akhir berkaitan pertahanan, disokong pengetahuan teknikal, pengalaman industri serta hubungan dengan pengeluar peralatan asal dalam ekosistem penerbangan.
Nonee Ashirin berkata GTA selama ini mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian MRO penerbangan menerusi kepakaran teknikal, hubungan pelanggan yang kukuh dan kerjasama strategik dengan rakan industri global.
IPO GTA merangkumi terbitan awam 205 juta saham biasa baharu serta tawaran jualan 124 juta saham sedia ada, menjadikan keseluruhan tawaran sebanyak 329 juta saham atau kira-kira 25.48 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan.