KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan pasaran baru-baru ini, dengan saham sektor telekomunikasi dan perindustrian mendahului penurunan.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.02 mata kepada 1,737.15 berbanding 1,748.17 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.48 mata lebih tinggi pada 1,749.65, yang juga paras tertinggi harian, sebelum merosot ke paras terendah 1,733.38 pada sesi dagangan petang.
Prestasi pasaran secara menyeluruh turut negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 575 berbanding 567.
Sebanyak 573 kaunter tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 13 lagi digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.24 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 3.89 bilion unit bernilai RM3.80 bilion pada Rabu.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata ekuiti Asia turut ditutup rendah apabila momentum kenaikan yang dipacu sektor teknologi pada sesi sebelumnya mula reda.
Beliau berkata, keadaan itu mendorong pelabur mengambil keuntungan selepas pemulihan saham berkaitan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) baru-baru ini.
Di peringkat global, Mohd Sedek berkata, sentimen geopolitik semakin baik, namun minat belian kekal sederhana apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang laporan senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Data berkenaan menjadi petunjuk penting yang boleh mempengaruhi jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).
"Perkembangan ke arah potensi perjanjian antara AS-Iran serta harga minyak mentah yang lebih rendah membantu mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi.
"Pada masa sama, pengambilan pekerja sektor swasta AS yang lebih lemah daripada jangkaan mengukuhkan jangkaan bahawa pasaran buruh semakin sederhana," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.80, manakala Public Bank dan CIMB Group masing-masing turun empat sen kepada RM5.23 dan RM7.97.
Tenaga Nasional merosot 18 sen kepada RM14.48, manakala IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM8.33.
Antara saham aktif, Malaysian Resources Corp meningkat tiga sen kepada 34 sen, Zetrix AI naik dua sen kepada 71 sen dan JCY International menokok enam sen kepada 47 sen.
Steel Hawk susut empat sen kepada 14 sen, manakala Tanco tidak berubah pada 25.5 sen.
Malaysian Pacific Industries mendahului kaunter untung apabila meningkat 72 sen kepada RM47.66.
UWC melonjak 31 sen kepada RM6.79, IJM Corp meningkat 17 sen kepada RM2.66 dan Theta Edge naik 16 sen kepada 71 sen.
Dalam senarai kaunter rugi, Nestle merosot RM1.20 kepada RM101.30, Hong Leong Industries susut 34 sen kepada RM17.68 dan Press Metal Aluminium turun 32 sen kepada RM7.99.
Petronas Gas berkurangan 26 sen kepada RM17.18, manakala United Plantations susut 20 sen kepada RM34.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 46.49 mata kepada 12,856.02, manakala Indeks FBM Top 100 susut 51.66 mata kepada 12,685.28.
Indeks FBM Emas Shariah turun 41.09 mata kepada 12,691.54 dan Indeks FBM ACE susut 1.51 mata kepada 5,037.75.
Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 48.10 mata kepada 18,326.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 49.32 mata kepada 20,519.85 dan Indeks Perladangan susut 46.15 mata kepada 9,464.55.
Indeks Tenaga berkurangan 1.82 mata kepada 762.41, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.46 mata kepada 187.78.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.60 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM3.40 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.13 bilion unit bernilai RM146.50 juta daripada 1.29 bilion unit bernilai RM174.29 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE turut susut kepada 498.42 juta unit bernilai RM175.55 juta daripada 658.35 juta unit bernilai RM224.84 juta semalam.
Di Pasaran Utama, sektor teknologi mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak 372.09 juta saham, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak 314.03 juta saham serta hartanah sebanyak 273.33 juta saham.