Maybank sempurnakan transaksi SCF bertoken pertama di Malaysia

BeritaHarian Thu, Aug 20, 2026 11:10am - 2 months View Original


Arvind Santhanam Prasad (kiri) dan Goh Yuen Khai

KUALA LUMPUR: Maybank berjaya menyempurnakan transaksi Pembiayaan Rantaian Bekalan (SCF) bertoken pertama di Malaysia, sekali gus menggalakkan ketelusan dan daya tahan yang lebih tinggi dalam ekosistem rantaian bekalan.

Transaksi perintis bernilai RM1 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Virtual Economy Technology Sdn Bhd (V Systems) menerusi platform tokenisasinya, NexA, yang dibangunkan di bawah Sandbox Kawal Selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ia membabitkan Syarikat Logam Unitrade Sdn Bhd (Unitrade), salah satu pembekal bahan binaan dan pembinaan terkemuka di Malaysia, dengan Maybank menyediakan pembiayaan.

Kejayaan transaksi itu menunjukkan perjalanan SCF hujung ke hujung yang ditokenkan sepenuhnya, daripada kelulusan invois sehingga pengeluaran dana dan penyelesaian dalam persekitaran komersial sebenar, sekali gus meningkatkan ketelusan, kebolehkesanan dan kepantasan.

Platform itu berpotensi mengubah aliran kerja SCF konvensional serta membolehkan akses segera kepada modal kerja untuk pembeli dan pembekal, khususnya memberi manfaat kepada segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Keupayaan ini boleh menjadi pemangkin kepada industri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, penciptaan nilai dan sektor pertumbuhan tinggi, khususnya industri yang mempunyai rantaian bekalan yang panjang atau berbilang peringkat, di mana kecairan boleh dibuka dengan lebih meluas di sepanjang ekosistem berkenaan.

Pengarah Urusan Perbankan Transaksi & Pembayaran, Perbankan Global Maybank, Arvind Santhanam Prasad, berkata transaksi tokenisasi perintis itu merupakan satu langkah penting dalam usaha menggunakan teknologi secara bertanggungjawab bagi menjadikan rantaian bekalan lebih cekap dan inklusif.

Katanya, PMKS memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan, tetapi sering berdepan kekangan pembiayaan yang berterusan, dan inovasi itu menawarkan kaedah praktikal untuk membuka akses kepada kecairan.

"Melangkah ke hadapan, kami melihat potensi dalam tokenisasi pembiayaan rantaian bekalan peringkat lebih mendalam bagi membolehkan pembiayaan perdagangan rentas sempadan yang lancar di seluruh ASEAN," katanya.

Inisiatif itu selaras dengan pelan strategik lima tahun ROAR30 Maybank serta aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti 2026-2030 untuk memacu inovasi dan pembiayaan inklusif menerusi penyelesaian berasaskan teknologi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif V Systems, Goh Yuen Khai, berkata evolusi kewangan digital akan disokong oleh infrastruktur yang dipercayai, membolehkan aset, transaksi dan kecairan bergerak dengan lebih lancar merentasi rantaian nilai.

"Kerjasama ini menyerlahkan peranan kewangan digital yang semakin berkembang dalam menyokong pasaran yang lebih saling berhubung dan cekap. Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Maybank untuk memajukan penyelesaian pembiayaan bertoken di Malaysia dan seluruh rantau ini," katanya.

Transaksi perintis itu merupakan pencapaian terbaharu Maybank dalam bidang tokenisasi, susulan beberapa pencapaian pertama termasuk penerbitan sukuk bertoken pertama Malaysia, selain penukaran mata wang asing ringgit Malaysia-dolar Singapura secara 'on-chain' dan pembayaran rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.