Zetrix AI beli 15.25 juta saham MYEG Ventures pada harga RM130 juta

BeritaHarian Wed, Sep 02, 2026 09:48pm - 3 days View Original


Zetrix AI Bhd

KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd memeterai perjanjian jual beli saham dengan Next Lion Ltd untuk membeli 15.25 juta saham biasa dalam MYEG Ventures pada harga RM130 juta.

MYEG Ventures ialah sebuah syarikat yang diperbadankan dan wujud di bawah undang-undang Filipina serta terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat.

Syarikat itu memiliki 60 peratus kepentingan dalam MYEG Philippines Inc, sebuah syarikat bersekutu Zetrix AI.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 1 September, Zetrix AI berkata pembelian itu akan diselesaikan melalui tunai dan penerbitan sehingga 360.57 juta saham dalam syarikat tersebut.

Katanya, selepas cadangan pengambilalihan itu selesai, MYEG Philippines akan menjadi anak syarikat Zetrix AI.

Zetrix AI berkata, cadangan pengambilalihan itu bertujuan memperkukuh pelan strategik kumpulan serta menyokong pengembangannya ke Filipina.

"Ia akan memberi peluang kepada kumpulan untuk mewujudkan dan memperkukuh kehadirannya dalam pasaran Filipina, meluaskan operasi perniagaan dan pangkalan pelanggannya serta mewujudkan platform yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa depan di rantau ini.

"Langkah itu juga dijangka melengkapi strategi perniagaan sedia ada kumpulan dan memudahkan pelaksanaan rancangan pengembangan jangka panjangnya di Filipina," katanya.

Menurut Zetrix AI, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada tarikh yang dipersetujui bersama oleh syarikat dan Next Lion, tidak lewat daripada tiga bulan selepas semua syarat terdahulu dipenuhi.

Transaksi berkenaan juga akan turut menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun seterusnya, katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.670
ZETRIX 0.255

Comments

Login to comment.