Zecon cadang subpajakan tanah bernilai RM54.36 juta di Kuching

BeritaHarian Wed, Sep 02, 2026 10:01pm - 3 days View Original


Taman Teknologi Hijau Kota Petra

KUALA LUMPUR: Zecon Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Zecon Renewables (Sarawak) Sdn Bhd (ZRSSB), bercadang untuk menyewa semula sebahagian tanah di Kuching, Sarawak daripada Zecon Solar Sdn Bhd (ZSSB) dalam satu urus niaga pihak berkaitan bernilai RM54.36 juta.

Zecon dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan cadangan berkenaan melibatkan penyewaan semula 122.18 hektar (302 ekar) tanah selama 30 tahun pada kadar sewa bulanan sebanyak RM500 seekar. Ini bersamaan RM151,000 sebulan dan RM1.81 juta setahun.

Tanah itu merupakan sebahagian daripada Taman Teknologi Hijau Kota Petra di Kuching. Ia telah diluluskan untuk pembangunan ladang fotovoltaik solar 100 megawatt arus ulang-alik (MWac).

Cadangan berkenaan adalah sebahagian daripada perjanjian pembelian tenaga yang dimeterai oleh ZRSSB dengan Syarikat SESCO Bhd pada 22 Oktober 2025.

ZRSSB akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengoperasikan dan menyelenggara kemudahan PV solar itu serta membekalkan tenaga elektrik yang dijana kepada SESCO, tambah Zecon.

"Cadangan penyewaan semula itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelan kumpulan untuk bahagian tenaga boleh baharunya bagi menjalankan pembangunan kemudahan berkenaan.

"Cadangan itu juga akan memberikan kumpulan akses jangka panjang kepada kawasan yang terletak di lokasi strategik dan sesuai untuk pembangunan kemudahan berkenaan, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Zecon turut mencadangkan pelaksanaan skim opsyen saham pekerja (ESOS), dengan jumlah maksimum saham baharu yang akan diterbitkan dan diperuntukkan dihadkan kepada 15 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat.

"Permohonan akan dikemukakan kepada Bursa Securities untuk penyenaraian dan sebut harga bagi saham baharu Zecon yang bakal diterbitkan berikutan pelaksanaan opsyen ESOS di Pasaran Utama Bursa Securities," menurut syarikat itu.

Hasil yang diraih daripada pelaksanaan opsyen itu akan digunakan untuk modal kerja kumpulan.

Syarikat itu memaklumkan sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperoleh, kedua-dua cadangan terbabit dijangka selesai menjelang suku keempat 2026.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.670
ZECON 0.485

Comments

Login to comment.