KUALA LUMPUR: KJTN Engineering Company Ltd, anak syarikat KJTS Group Bhd (KJTS) di Thailand, meraih empat perjanjian untuk menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta bekalan air sejuk selama 20 tahun kepada empat hotel di Thailand, dengan bayaran tetap kira-kira RM47.83 juta.
Menurut KJTS, KJTN Engineering memeterai perjanjian tersebut dengan empat anak syarikat milik penuh Central Plaza Hotel Public Company Ltd (Centel), yang turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf di hotel-hotel berkenaan.
Perjanjian itu merangkumi Centara Reserve Samui, Centara Hotel Hat Yai, Centara Grand Beach Resort Phuket dan Centara Karon Resort Phuket.
"Kerja-kerja menaik taraf di bawah setiap perjanjian dijangka bermula pada September 2026 dan siap menjelang Februari 2027. Perkhidmatan O&M serta bekalan air sejuk akan berkuat kuasa selama 20 tahun dari Mac 2027 hingga Februari 2047," menurut KJTS dalam satu makluman kepada bursa saham.
Dalam perjanjian itu, Centara Reserve Samui membabitkan bayaran tetap kira-kira RM13.46 juta, manakala Centara Hotel Hat Yai dan Centara Grand Beach Resort Phuket masing-masing melibatkan kira-kira RM12.86 juta.
Bayaran tetap bagi Centara Karon Resort Phuket pula bernilai kira-kira RM8.65 juta.
KJTS memaklumkan selain bayaran tetap, KJTN Engineering akan mengenakan yuran bulanan boleh ubah kepada pengendali hotel berkenaan berdasarkan jumlah air sejuk yang dibekalkan.
Menurut kumpulan itu, perjanjian berkenaan tidak akan menjejaskan modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama KJTS serta anak-anak syarikatnya.
"Perjanjian itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih KJTS Group sehingga tamat tempoh perjanjian berkenaan," tambahnya.
Mengenai risiko yang boleh berlaku, KJTS memaklumkan kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang risiko ketara di luar risiko operasi biasa yang berkaitan dengan perjanjian berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan.
KJTS turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dengan perjanjian-perjanjian berkenaan.
"Lembaga pengarah setelah mempertimbangkan semua aspek perjanjian berkenaan berpendapat bahawa perjanjian itu dimeterai demi kepentingan terbaik syarikat," tambahnya.
-BERNAMA