KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai pemegang saham utama dalam Eco-Shop Marketing Bhd selepas meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu kepada ambang melebihi lima peratus.
Pengurus dana persaraan pekerja swasta itu membeli tambahan 8.68 juta saham, atau kira-kira 0.15 peratus kepentingan dalam peruncit barangan harga tetap berkenaan, sekali gus meningkatkan pegangannya kepada 5.14 peratus, bersamaan 296.16 juta saham, demikian menurut makluman Eco-Shop kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ini menjadikan KWSP sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam Eco-Shop, selepas Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lee Kar Whatt, yang memegang 73.81 peratus kepentingan, dan Agathis Montana Sdn Bhd, sebuah entiti yang diuruskan oleh Creador IV, dengan pegangan 7.48 peratus.
Keuntungan bersih Eco-Shop bagi suku tahun berakhir 31 Mei 2026 baru-baru ini melonjak 44.91 peratus kepada RM72.63 juta berbanding RM50.12 juta setahun sebelumnya.
Ini merupakan keuntungan bersih suku tahunan tertinggi pernah dicatatkan syarikat.
Hasil suku tahunan turut mencecah rekod tertinggi RM772.89 juta, meningkat 12.18 peratus tahun ke tahun, disokong oleh margin yang lebih baik serta pengembangan berterusan rangkaian kedai.
Bagi tahun kewangan 2026, keuntungan bersih meningkat 29 peratus kepada RM264.57 juta daripada RM205.03 juta setahun sebelumnya, manakala hasil berkembang 4.6 peratus kepada RM2.92 bilion daripada RM2.79 bilion.