Sunsuria City jual tanah di Dengkil kepada Amazon Data Services pada harga RM316.84 juta

BeritaHarian Mon, Sep 28, 2026 10:56pm - 1 month View Original


Sunsuria City Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik 99.99 peratus Sunsuria Bhd, Sunsuria City Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Amazon Data Services Malaysia Sdn Bhd untuk menjual sebidang tanah di Dengkil, Selangor pada harga tunai kira-kira RM316.84 juta.

Pemaju hartanah itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan, tanah pegangan bebas itu berkeluasan kira-kira 18.39 hektar.

"Pemilik berdaftar tanah itu ialah Sunsuria City, dan tanah berkenaan bebas daripada sebarang bebanan serta masih kosong pada masa ini.

"Cadangan penggunaan hartanah itu adalah bagi menyediakan perkhidmatan pemprosesan data dan infrastruktur," menurutnya.

Menurut Sunsuria, cadangan penjualan itu memberi peluang kepada kumpulan berkenaan untuk merealisasikan nilai pelaburannya dalam hartanah itu.

"Kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan pro forma sekali sahaja daripada penjualan berkenaan berjumlah kira-kira RM50.34 juta," menurutnya.

Menurut syarikat, cadangan penjualan itu antaranya tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunsuria pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan.

"Sekiranya tiada keadaan luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan serta persetujuan diperoleh, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada suku kedua 2027," menurutnya.

Hong Leong Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan penjualan itu.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.110
SUNSURIA 0.275

Comments

Login to comment.