Bursa Malaysia menjunam 21.44 mata

BeritaHarian Thu, Jul 08, 2021 06:46pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga teramat rendah di tengah sentimen berhati-hati berikutan peningkatan ketara kes jangkitan harian COVID-19 yang mencecah 8,000 kes baharu hari ini.

Prestasi lemah pasaran tempatan juga seiring dengan pergerakan di pasaran serantau yang lain.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 21.44 mata atau 1.4 peratus kepada 1,508.71 daripada 1,530.15 pada penutupan petang semalam (Rabu).

Indeks utama dibuka 4.25 mata lebih rendah pada 1,525.9, tertinggi untuk hari ini, dan jatuh ke paras terendah 1,501.21 pada hari urus niaga.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 1,057 berbalas 147 manakala 285 kaunter tidak berubah, 699 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 5.35 bilion unit bernilai RM3.54 bilion daripada 4.80 bilion unit bernilai RM2.73 bilion.

Malaysia mencatatkan 8,868 lagi kes COVID-19 hari ini, jumlah kedua tertinggi selepas 9,020 kes dilaporkan pada 29 Mei.

Kes terkumpul di dalam negara kini telah melepasi 800,000 dengan sejumlah 808,658 kes jangkitan.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus di mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari keempatnya berikutan pemulihan ekonomi global, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan.

Bagi prestasi bursa serantau yang lain, Indeks Straits Times Singapura turun 0.97 peratus kepada 3,111.26, Nikkei 225 Jepun susut 0.88 peratus menjadi 28,118.03 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menguncup 2.88 peratus kepada 27,153.13.

Saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia pula, Digi tidak berubah pada RM4.13, Maybank dan Public Bank masing-masing susut tiga sen kepada RM8.03 dan RM4.05, sementara IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.60 dan CIMB lemah 17 sen kepada RM4.43.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy meningkat satu sen kepada 17 sen, Metronic naik setengah sen kepada 4.5 sen, Pelangi Publishing menambah 1.5 sen kepada 38 sen, Serba Dinamik turun empat sen kepada 44 sen, Pelikan lebih rendah sebanyak tujuh sen kepada 38.5 sen dan Dagang Nexchange jatuh 4.5 sen kepada 66.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 177.37 mata kepada 10,988, Indeks FBMT 100 merosot 163.19 mata kepada 10,704.31, dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 200.23 mata kepada 12,013.49.

FBM ACE kerugian 377.22 mata kepada 7,063.52, dan FBM 70 lemah 260.69 mata kepada 14,247.4.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 173.35 mata kepada 14,876.86, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.96 mata kepada 186.26, dan Indeks Perladangan lebih rendah sebanyak 96.10 mata kepada 6,276.84.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.69 bilion saham bernilai RM3.03 ​​bilion daripada 3.46 bilion saham bernilai RM2.28 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran mengembang kepada 318.97 juta unit bernilai RM39.22 juta daripada 190.05 juta unit bernilai RM21.90 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 1.34 bilion saham bernilai RM474.77 juta daripada 1.14 bilion saham bernilai RM425.29 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 644.64 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (960.03 juta), pembinaan (193.30 juta), teknologi (434.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (93.87 juta), hartanah (192.47 juta), perladangan (40.33 juta), REIT (5.78 juta), dana tertutup (13,900), tenaga (735.10 juta), penjagaan kesihatan (100.38 juta), telekomunikasi dan media (178.56 juta), pengangkutan dan logistik (80.53 juta) dan utiliti (27.94 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ASB 0.100
BURSA 7.400
DNEX 0.400
IHH 6.090
PBBANK 4.160

Comments

Login to comment.