BHIC peroleh lanjutan kontrak servis Scorpene

BeritaHarian Wed, Jul 21, 2021 03:03pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) menerusi syarikat usaha samanya, Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd (BDNC) memperoleh lanjutan kontrak selama setahun lagi bagi menyediakan servis sokongan dalaman (ISS) kapal selam Scorpene Kelas Perdana Menteri milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

BDNC menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Kementerian Pertahanan, yang mana ia adalah lanjutan kedua kontrak ISS untuk tempoh setahun bermula 1 Januari 2021 (ISS 2021), sementara Kontrak Tambahan Kedua bernilai RM159.1 juta juga akan dimeterai.

Syarikat usaha sama itu diberikan kontrak ISS untuk jangka masa setahun dari 31 Disember 2018 (ISS 2019) dan pertama kali dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 (ISS 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf, berkata kontrak ISS dan LOA Tambahan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan BHIC untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

"LOA Tambahan membuktikan kemampuan BDNC untuk memenuhi tahap jangkaan tinggi TLDM dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada aset strategik ini yang sangat penting dalam menjaga keselamatan dan kepentingan maritim negara.

"Dengan rekod prestasi BDNC dalam memberikan perkhidmatan ISS dan Refit secara konsisten kepada TLDM tepat pada waktu dan mengikut spesifikasinya, kami yakin akan prospek mendapat lebih banyak kontrak kapal selam dari Kementerian Pertahanan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

BHIC memiliki 60 peratus ekuiti dalam BDNC, sementara Naval Group dari Perancis, sebelum ini dikenali sebagai DCNS, kontraktor pertahanan global yang terkemuka dan pengeluar kapal selam Scorpene, memegang 40 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

BDNC adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal selam (MRO) di Malaysia.

Ia mengendalikan pangkalan kapal selam TLDM di Teluk Sepangar berhampiran Kota Kinabalu, Sabah.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BHIC 0.465

Comments

Login to comment.