AIA melabur dalam TNG Digital

BeritaHarian Mon, Jul 26, 2021 10:40am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: AIA Malaysia (AIA) akan membuat pelaburan ekuiti minoriti dalam TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik Touch 'n Go eWallet yang juga syarikat e-dompet terbesar di Malaysia.

Menerusi pelaburan itu, ia akan menyediakan penyelesaian insurans digital menerusi kerjasama strategik jangka panjang dengan TNG Digital.

Penyelesaian terbabit juga diperibadikan bagi memenuhi keperluan perlindungan lebih daripada 16 juta pelanggan Touch 'n Go eWallet di seluruh negara.

Langkah itu sekali gus memperkukuhkan lagi komitmen syarikat insurans itu dalam inovasi digital dan pasaran Malaysia.

Menerusi teknologi insurans digital yang akan ditawarkan melalui jalinan kerjasama ini, AIA akan memberikan pengalaman yang mudah dan lancar kepada pelanggan Touch 'n Go eWallet untuk membeli, membuat tuntutan atau memperbaharui polisi.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng, berkata kerjasama dengan TNG Digital menandakan kesinambungan transformasi digital syarikat itu dan cita-citanya untuk menjangkau segmen pelanggan baharu menggunakan platform dalam talian.

"Lebih penting lagi, kerjasama ini turut memperkukuhkan komitmen kami dalam memperkenalkan produk baharu dan inovatif untuk dipasarkan dalam dunia yang serba digital ini.

"Keperluan insurans kian meningkat ketika berlakunya pandemik. Kita perlu sentiasa berusaha memperluaskan perkhidmatan di samping memberikan pilihan yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia.

"Ini akan membolehkan mereka mendapatkan perlindungan yang tepat, bersesuaian dengan peringkat kehidupan mereka, melalui cara yang mereka mahukan dan pada masa yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan.

Ng berkata, kerjasama dengan rakan digital yang terbaik di pasaran memberi peluang kepada AIA untuk menawarkan pelanggan Touch 'n Go eWallet penyelesaian insurans yang boleh dibeli secara langsung dalam talian.

Katanya, penyelesaian insurans digital juga boleh didapati menerusi saluran pengedaran AIA sedia ada termasuk pasukan agensinya seramai 19,000 orang yang berkelayakan memberi nasihat dan panduan mengenai perlindungan insurans serta takaful lebih komprehensif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, AIA adalah syarikat yang membina nilai pelanggan dengan cara yang sama seperti syarikat itu, menggunakan teknologi dan inovasi secara efektif untuk memberikan nilai lebih tinggi serta tawaran produk direka khusus buat pengguna.

"Insurans adalah tonggak utama buat kami untuk terus berkembang di dalam perkhidmatan kewangan.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan AIA untuk mengukuhkan lagi segmen ini dan memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik dan relevan kepada pengguna Touch 'n Go eWallet.

"Kami juga mengalu-alukan penyertaan strategik AIA sebagai pemegang saham syarikat Touch 'n Go eWallet. Pembabitan mereka bertepatan dengan evolusi berterusan kami untuk meneroka perkhidmatan kewangan dengan lebih mendalam." katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.