Dagangan Bursa Malaysia bermula positif

BeritaHarian Tue, Jul 27, 2021 10:01am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Selasa, seiring dengan prestasi peningkatan sederhana yang dicatatkan oleh pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.98 mata kepada 1,516.51 daripada 1,512.53 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu naik 3.2 mata kepada 1,524.47 sewaktu pasaran dibuka.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 211 berbanding 151 manakala 238 kaunter lain tidak berubah, 1,626 lain tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 273.93 juta unit bernilai RM108.76 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, FBM KLCI dan pasaran secara meluas susut pada Isnin, seiring dengan prestasi negatif pasaran saham di China dan Hong Kong berikutan kebimbangan mengenai peraturan lebih ketat dalam sektor tertentu.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan aktiviti memburu saham berharga rendah akan ketara di pasaran tempatan selepas jualan semalam ketika penggiat pasaran mulai memberi reaksi terhadap impak perkembangan di China atau di Hong Kong.

"Selain itu, pelabur juga sepatutnya memberi tumpuan terhadap tahap pemberian suntikan vaksin harian yang lebih tinggi berbanding kes harian COVID-19 dengan kerajaan memberi perhatian untuk pembukaan semula aktiviti perniagaan bagi kemajuan masa depan," katanya.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah pula meneruskan kenaikan masing-masing, kata firma pembrokeran itu.

Bagi sektor, pasaran dijangka menyaksikan minat belian terhadap saham-saham minyak dan gas berikutan peningkatan harga komoditi dengan perkembangan sama dijangka turut dialami oleh sektor teknologi selepas aktiviti jualan ketara pada Isnin.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.01, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.03, TNB meraih dua sen kepada RM9.72 manakala IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM5.82 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.99.

Saham aktif menyaksikan waran BCM Alliance jatuh 11.5 sen kepada setengah sen manakala sahamnya susut setengah sen kepada 15 sen.

Serba Dinamik dan warannya masing-masing naik satu sen kepada 43 sen dan 10 sen manakala PUC meraih setengah sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 31.19 mata kepada 11,125.50, FBM ACE menokok 33.90 mata kepada 7,357.40 dan FBM 70 menambah 29.92 mata kepada 14,637.86.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 22.47 mata kepada 12,239.33 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 26.74 mata kepada 10,820.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 63.72 mata kepada 14,816.96, Indeks Perladangan meningkat 40.64 mata kepada 6,229.92 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.15 mata kepada 189.16.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BCMALL 0.015
BURSA 7.460
IHH 6.030
PBBANK 4.210
PUC 0.050

Comments

Login to comment.