Bursa Malaysia kekal di bawah 1,500 mata

BeritaHarian Mon, Aug 02, 2021 07:17pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan minggu lalu untuk ditutup rendah hari ini, dengan indeks utama kekal di bawah paras 1,500 mata berikutan sentimen pasaran yang lemah menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.6 mata semasa mengakhiri hari dagangan pertama Ogos kepada 1,493.0 daripada 1,494.60 pada Jumaat.

Indeks utama, yang dibuka tinggi 2.79 mata kepada 1,497.39, bergerak antara 1,486.23 dan 1,499.74 sepanjang sesi.

Pasaran tempatan tinggi sedikit pada sesi dagangan pagi berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana, tetapi merosot selepas sejam dalam dagangan berikutan sentimen pasaran yang lemah.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 594 berbanding 440, manakala 378 kaunter tidak berubah, 760 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.43 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 4.12 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Jumaat.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata FBM KLCI bertentangan dengan trend serantau apabila pasaran Asia lain mencatatkan kenaikan dalam persekitaran saham China meningkat semula berikutan sentimen yang lebih baik susulan jualan besar-besaran yang dicetuskan oleh tindakan tegas peraturan ke atas sektor teknologi minggu lalu.

"Kebimbangan daripada jumlah kes COVID-19 harian di negara ini dilihat mempengaruhi prospek yang menggalakkan daripada dos vaksinasi harian yang kekal kira-kira 500,000 dos sehari baru-baru ini.

"Pada masa sama, pelabur terus memantau perkembangan politik negara," katanya.

Adam berkata, Sime Darby Plantation mendahului saham rugi di kaunter berkaitan indeks dengan merosot sebanyak 2.9 peratus, manakala indeks Bursa Malaysia Energy merupakan saham paling rugi dalam kalangan indeks sektor yang lain selepas ditutup rendah 2.3 peratus sejajar dengan harga minyak mentah Brent yang rendah.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan dua sen kepada RM7.99 manakala Public Bank dan Tenaga, masing-masing susut satu sen kepada RM3.97 dan RM9.63.

PetChem menambah satu sen kepada RM8.05, IHH naik lapan sen kepada RM5.72 manakala CIMB dan Hong Leong Bank, masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.47 dan RM18.02.

Dalam kalangan saham aktif, Resintech naik 14 sen kepada 73.5 sen selepas 113.36 juta saham bertukar tangan, Greenyield meningkat 8.0 sen kepada 38 sen manakala Serba Dinamik dan Saudee, masing-masing susut 1.5 sen kepada 38 sen dan 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 6.19 mata kepada 10,979.66, Indeks FBMT 100 menambah 10.88 mata kepada 10,692.1, FBM 70 melonjak 101.54 mata kepada 14,619.83, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 22.18 mata kepada 12,071.27 dan FBM ACE menokok 6.3 mata kepada 7,086.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 12.9 mata kepada 14,668.55, Indeks Perladangan berkurangan 29.8 mata kepada 6,009.24 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.62 mata kepada 187.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.15 bilion saham bernilai RM2.0 bilion daripada 2.14 bilion saham bernilai RM2.17 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 294.79 juta unit bernilai RM38.44 juta daripada 293.15 juta unit bernilai RM42.73 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 976.3 juta saham bernilai RM336.25 juta daripada 1.69 bilion saham bernilai RM502.54 juta pada Jumaat.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 498.07 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (693.29 juta), pembinaan (57.3 juta), teknologi (311.67 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (70.85 juta), hartanah (155.02 juta), perladangan (39.29 juta), REIT (5.05 juta), dana tertutup (30,500), tenaga (205.3 juta), penjagaan kesihatan (41.2 juta), telekomunikasi dan media (27.75 juta), pengangkutan dan logistik (34.26 juta) dan utiliti (14.31 juta).

-- BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
GREENYB 0.215
HLBANK 19.380
PBBANK 4.140
RESINTC 0.515
SIMEPLT 4.410

Comments

Login to comment.