Bursa Malaysia ditutup pada paras 1,500 mata

BeritaHarian Tue, Aug 03, 2021 08:33pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia berjaya menebus kembali kerugian awal untuk bergerak ke zon positif hari ini dengan indeks utama ditutup pada paras tinggi harian, dipacu oleh sokongan belian yang membabitkan kaunter berwajaran tinggi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran masih lagi bersifat berhati-hati, kata peniaga.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.26 mata untuk mengakhiri urus niaga hari ini pada 1,500.26 berbanding 1,493.0 pada penutupan urus niaga Isnin.

Indeks utama disokong oleh keuntungan yang dicatatkan oleh Sime Darby Plantation, Maybank, CIMB, Kuala Lumpur Kepong (KLK), Public Bank dan Tenaga yang apabila digabung menyumbangkan 7.285 mata.

Indeks utama yang dibuka 0.15 mata lebih tinggi pada 1,493.15 pagi ini, bergerak ke paras serendah 1,489.74 pada satu ketika.

Terdapat 493 kaunter rugi dan 473 kaunter untung manakala 430 kaunter tidak berubah, 776 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 4.16 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 3.43 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Isnin.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata FBM KLCI meningkat kembali sebanyak 0.5 peratus dirangsang oleh keuntungan dicatatkan terutamanya oleh KLK, yang meningkat 3.4 peratus hari ini.

Ini menjadikan Indeks Perladangan Bursa Malaysia meraih keuntungan terbesar dalam kalangan indeks sektoral, menyaksikan peningkatan harian sebanyak 1.3 peratus.

Sementara itu, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia paling kerugian selepas menyusut 1.4 peratus berikutan kejatuhan dalam kaunter sarung tangan getah di bawah FBM KLCI seperti Hartalega dan Top Glove yang masing-masing menyusut 3.3 peratus dan 2.6 peratus.

"Secara umum, prestasi dirancakkan oleh sentimen positif dari Indonesia yang mana negara itu berhasrat membuka kembali ekonominya secara berperingkat mulai September selepas menteri kesihatan negara itu pada Isnin menyatakan gelombang penularan koronavirus telah melepasi puncaknya," katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.05, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.00, Tenaga melonjak 10 sen kepada RM9.73, IHH lebih tinggi sebanyak lima sen kepada RM5.77, CIMB menambah tujuh sen kepada RM4.54, sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada harga RM8.05.

Bagi saham aktif pula, Serba Dinamik untung 2.5 sen kepada 40.5 sen, Saudee susut 1.5 sen kepada 10.5 sen, Kanger turun setengah sen kepada enam sen sementara Permaju dan Systech masing-masing tidak berubah pada sembilan sen dan 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 44.76 mata pada 11,024.42, Indeks FBMT 100 menambah 44.72 mata kepada 10,736.85, FBM 70 naik 32.93 mata kepada 14,652.79, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 33.01 mata kepada 12,104.28, dan FBM ACE melonjak 30.8 mata kepada 7,117.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melambung 123.11 mata kepada 14,791.66, Indeks Perladangan naik 78.85 mata kepada 6,088.09, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.74 mata kepada 188.56.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.73 bilion saham bernilai RM2.28 bilion daripada 2.15 bilion saham bernilai RM2.0 bilion pada hari Isnin.

Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 328.07 juta unit bernilai RM48.18 juta berbanding 294.79 juta unit bernilai RM38.44 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.1 bilion saham bernilai RM386.25 juta berbanding 976.3 juta saham bernilai RM336.25 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 806.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (825.70 juta), pembinaan (83.46 juta), teknologi (248.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.92 juta), hartanah (136.48 juta), perladangan (15.27 juta), REIT (4.64 juta), dana tertutup (74,200), tenaga (387.57 juta), penjagaan kesihatan (92.65 juta), telekomunikasi dan media (26.27 juta), pengangkutan dan logistik (37.58 juta) dan utiliti (12.85 juta).

- BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
KLK 22.860
PBBANK 4.150
SIMEPLT 4.460
SYSTECH 0.440
TOPGLOV 0.810

Comments

Login to comment.