LPI raih untung bersih RM83.92 juta

BeritaHarian Thu, Aug 05, 2021 03:43pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: LPI Capital Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM83.92 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM77.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat kepada RM420 juta daripada RM399 juta, terutama disumbangkan oleh peningkatan premium kasar yang dicatat oleh anak syarikat insurans milik penuhnya, Lonpac Insurance Bhd (Lonpac).

Pengerusi dan Pengasas, Tan Sri Teh Hong Piow, menerusi satu kenyataan berkata Lonpac melaporkan prestasi yang mengagumkan pada suku kedua meskipun dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu yang mengakibatkan aktiviti ekonomi yang berkurangan.

Lonpac mencatatkan pertumbuhan pendapatan premium kasar sebanyak 8.4 peratus kepada RM369.4 juta pada suku terbabit.

Ia turut merekodkan peningkatan keuntungan penajajaminan sebanyak 23.6 peratus kepada RM88.4 juta berikutan nisbah tuntutan yang ditanggung lebih rendah.

Nisbah tuntutan penanggung insurans merosot kepada 35.8 peratus daripada 45.6 peratus dengan kebanyakan kelas insurans utama mencatatkan nisbah yang lebih rendah.

"Kumpulan LPI akan terus mengejar peluang pertumbuhan apabila persekitaran perniagaan bertambah baik," kata Hong Piow.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 29 sen sesaham, berbanding 28 sen sesaham pada tahun kewangan 2020.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LPI 12.040

Comments

Login to comment.