Pulangan tinggi IPO tarik minat pelabur

BeritaHarian Wed, Aug 11, 2021 02:19pm - 2 years View Original


H: Pulangan tinggi IPO tarik minat pelabur

Harga saham syarikat tunjuk peningkatan pada hari pertama dagangan

Oleh Mahanum Abdul Aziz

Sambutan memberangsangkan pelabur runcit terhadap tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini di tengah-tengah prestasi pasaran saham tempatan yang lemah adalah berikutan tanggapan bahawa pelaburan sedemikian lebih selamat berbanding pasaran terbuka.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata sambutan terhadap pasaran IPO oleh pelabur runcit adalah disebabkan persepsi bahawa harga saham syarikat yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia akan melonjak pada hari pertama dagangan.

Malah, beliau berkata, berdasarkan corak aliran kebelakangan ini, harga saham syarikat yang memasuki IPO menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Harga saham syarikat IPO pada kebiasaannya akan naik sebaik ia disenaraikan. Prestasi harga saham syarikat berkenaan meyakinkan pelabur runcit untuk membuat pelaburan melalui IPO," katanya kepada BH.

Berdasarkan trend IPO di Pasaran Utama, ACE dan LEAP setakat tahun ini, hampir semua saham yang baru disenaraikan melonjak mengatasi harga tawaran masing-masing, kecuali Yenher Holdings Bhd yang mencatatkan diskaun pada hari pertama ia didagangkan di Bursa Malaysia pada 15 Julai lalu.

Malah, ada beberapa syarikat mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus pada hari pertama didagangkan.

Antara IPO yang mencatatkan prestasi cemerlang pada dagangan sulung ialah Mobila Holdings Bhd, yang dibuka pada 65 sen, premium 183 peratus berbanding harga IPO 23 sen.

Flexidynamic Holdings Bhd pula memulakan dagangan sulungnya pada 69 sen dan melonjak setinggi 72 sen sebelum mengakhiri dagangan hari pertama pada 43 sen, naik 23 sen atau 115 peratus berbanding harga tawarannya 20 sen.

Pekat Group Bhd memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dengan cemerlang apabila sahamnya melonjak kepada 85 sen, atau premium 165 peratus berbanding harga rujukan IPO 32 sen sesaham.

Penyenaraian terbesar di Bursa Malaysia tahun ini, CTOS Digital Bhd turut cemerlang pada hari pertama dagangannya 19 Julai lalu dengan mencatatkan premium setinggi 60 peratus.

Mengulas lanjut, Imran berkata, terdapat kemungkinan pelabur melihat pelaburan dalam IPO sebagai kaedah lebih selamat untuk meletakkan wang mereka dan meraih keuntungan.

"Pelabur mungkin lebih menggemari saham IPO berbanding mengejar pasaran saham yang sukar untuk diramalkan," katanya.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata saham IPO memang ditawarkan pada harga yang murah sedikit daripada nilai sebenar untuk menarik minat pelabur.

Beliau berkata, prestasi yang baik pada harga pembukaan hari pertama menyebabkan pelabur berminat untuk membeli saham IPO.

Katanya, pulangan saham IPO sepanjang tahun ini sangat memberangsangkan memandangkan ia dianggap lebih selamat berbanding dengan saham di pasaran terbuka.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata meskipun prestasi pasaran modal dilihat kurang memberangsangkan, pembabitan tinggi pelabur terutama pelabur runcit dalam IPO adalah disebabkan oleh jangkaan bahawa ekonomi akan pulih pada tahun ini dan berkembang lagi pada tahun depan.

Oleh itu, beliau berkata, kemungkinan untuk pelabur meraih pulangan yang munasabah adalah tidak mustahil sekiranya ekonomi beransur pulih untuk separuh kedua tahun ini dan berkembang lagi tahun depan, yang mana pendapatan syarikat yang melancarkan IPO juga akan meningkat.

"Pada masa yang sama, pelancaran IPO pada masa ini memberi dana kepada syarikat ini untuk mengembangkan perniagaan apabila ekonomi semakin berkembang," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
CTOS 1.320
FLEXI 0.215
YENHER 0.870

Comments

Login to comment.