Ternakan ayam, itik lonjak untung Leong Hup

BeritaHarian Tue, Aug 24, 2021 08:25pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Leong Hup International Bhd melonjak 87.5 peratus kepada RM30.50 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM16.27 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Syarikat ternak bersepadu itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pendapatannya bagi suku kedua tahun kewangan 2021 menokok sebanyak 30.1 peratus kepada RM1.85 bilion daripada RM1.43 bilion selepas disokong oleh segmen produk berkaitan ternakan termasuk ayam dan itik.

"Segmen itu meningkat 22.9 peratus kepada RM992.46 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 daripada RM807.28 juta yang direkodkan semasa tempoh yang sama tahun lalu.

"Ini disebabkan oleh pertumbuhan jualan dan purata harga jualan yang kukuh (ASP) bagi anak ayam berusia sehari di Indonesia serta Malaysia, ayam pedaging di Malaysia dan Filipina termasuk sumbangan saluran perniagaan ke pengguna yang lebih tinggi di Malaysia," katanya.

Leong Hup berkata, pendapatan perniagaan kilang makanannya meningkat 39.7 peratus kepada RM858.88 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 daripada RM614.69 juta yang direkodkan semasa tempoh yang sama tahun sebelumnya, memandangkan Indonesia dan Vietnam melaporkan jumlah penjualan dan ASP makanan ternakan yang lebih tinggi.

Indonesia terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar kepada kumpulan dengan memberikan sebanyak RM697.29 juta (37.6 peratus) kepada jumlah pendapatan kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2021.

Ini diikuti oleh Malaysia (RM479.33 juta atau 25.9 peratus), Vietnam (RM438.53 juta atau 23.6 peratus), Singapura (RM197.80 juta atau 10.7 peratus) dan Filipina (RM40.86 juta atau 2.2 peratus).

Untuk tempoh kumulatif enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2021 (separuh pertama tahun kewangan 2021), Leong Hup menyaksikan keuntungan bersihnya bertambah 164.9 peratus kepada RM100.83 juta daripada RM38.06 juta sebelumnya, manakala pendapatan adalah 23.5 peratus lebih tinggi pada RM3.53 bilion berbanding RM2.86 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama tahun kewangan 2020.

Leong Hup ketika mengulas mengenai kilang pemprosesan daging ayam/itik di Jawa Barat, Indonesia berkata kilang itu dijadualkan dibina menjelang suku ketiga 2021 dan akan mula beroperasi pada awal 2022.

"Kemudahan ini diharap akan membolehkan operasi Indonesia untuk memiliki kawalan yang lebih baik terhadap ketidakseimbangan permintaan-penawaran ayam pendaging yang berkala.

"Ini akan memberikan tahap penebat terhadap harga ayam hidup yang tidak stabil," katanya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Lau Tuang Nguang ketika bercakap mengenai prospek syarikat menjangkakan beberapa perubahan jangka pendek hingga sederhana akan berterusan akibat turun naik permintaan dan penyesuaian bekalan produk ayam/itik yang berterusan.

"Sekatan pergerakan pada tahap yang berbeza masih berlaku ke atas sebahagian besar pasaran operasi kumpulan.

"Oleh itu, ketahanan pemulihan kumpulan akan bergantung kepada sejauh mana pandemik COVID-19 ini dikendalikan selain pelonggaran sekatan di setiap pasaran operasi kumpulan," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
LHI 0.575

Comments

Login to comment.