Bursa Malaysia melonjak untuk hari keempat

BeritaHarian Wed, Aug 25, 2021 10:41am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatannya untuk hari keempat berturut-turut apabila dibuka tinggi pada awal dagangan Rabu, dipacu oleh sentimen positif pelabur dan harga komoditi yang bertambah baik.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 12.32 mata kepada 1,565.69 daripada 1,553.37 pada akhir dagangan Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 1.21 mata kepada 1,554.58.

Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 256 berbanding 130 manakala 312 kaunter lain tidak berubah, 1,553 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 197.44 juta saham bernilai RM129.59 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata biarpun pasaran berkemungkinan mencatat penyusutan akibat aktiviti pengambilan untung, namun sentimen menyeluruh terhadap bursa tempatan itu terus positif serta didorong oleh pemulihan dan peningkatan harga komoditi.

Malah, pasaran juga dijangka turut dipacu oleh perkembangan usaha vaksinasi tempatan yang berjalan lancar dan meningkatkan rasa optimis pelabur, lebih-lebih lagi dalam musim pelaporan korporat ketika ini.

Menurut firma pembrokeran itu, faktor-faktor lain seperti indeks pengangkutan laut utama Baltic Exchange (Indeks Kering Baltic) yang meningkat ke paras tertinggi sejak pertengahan 2010 daripada 4,200 mata pada Selasa selain harga minyak Brent yang mencecah paras AS$71, berkemungkinan menyokong kaunter minyak dan gas selain pengangkutan dan logistik.

"Pelabur dijangka kekal positif terhadap sektor teknologi susulan peningkatan semalaman di Nasdaq yang mencecah paras tertinggi.

"Selain itu, kami juga percaya sektor-sektor yang dalam proses pemulihan seperti berkaitan dengan bahan binaan dan pembinaan akan terus mendapat sambutan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.15, Maybank menokok enam sen kepada RM8.38 dan CIMB naik lima sen kepada RM4.88.

Press Metal pula meraih 20 sen kepada RM5.20, IOI meningkat 10 sen kepada RM3.99 dan Sime Darby Plantation menambah enam sen kepada RM4.22.

Bagi saham aktif, MMAG, AE Multi dan Ta Win tidak berubah pada 11.5 sen, 4.5 sen dan 16.5 sen manakala Aimflex susut satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Index naik 70.91 mata kepada 11,436.26, Indeks FBMT 100 meraih 70.89 mata kepada 11,142.07, Indeks FBM Emas Shariah menokok 72.47 mata kepada 12,493.81, FBM 70 menambah 29.69 mata kepada 14,961.09 dan FBM ACE naik 36.94 mata kepada 7,364.43.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 83.81 mata kepada 6,698.65, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 110.65 mata kepada 15,447.08 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.84 mata kepada 193.21.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIMFLEX 0.155
BURSA 7.450
IOICORP 3.980
PBBANK 4.240
SIMEPLT 4.370

Comments

Login to comment.