Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat

BeritaHarian Mon, Aug 30, 2021 10:46am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan peningkatan minggu lalu untuk dibuka tinggi hari ini, disokong permintaan belian yang berterusan di saham wajaran tinggi terpilih berikutan lebih ramai pelabur meraih keyakinan susulan ketegangan politik dalam negara yang semakin reda, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.33 mata kepada 1,600.49 berbanding 1,590.16 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 3.03 mata lebih tinggi kepada 1,593.19.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 286 kepada 200, manakala 373 kaunter tidak berubah, 1,387 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 523.04 juta unit bernilai RM210.16 juta.

Sementara itu, menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen positif itu dijangka berterusan, didorong sasaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencapai kadar vaksinasi melebihi 50 peratus untuk penduduk dewasa di enam negeri – Perak, Terengganu, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah – menjelang akhir September, di samping memberi bayangan Lembah Klang boleh beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

"FBM KLCI mengekalkan aliran kenaikannya sepanjang minggu, disokong minat belian kukuh daripada dana asing (aliran masuk positif: lima hari; belian bersih kumulatif: RM964.3 juta) di tengah-tengah kurangnya risiko politik dan pembukaan semula aktiviti perniagaan," katanya menerusi nota penyelidikan semalam.

Bagaimanapun, ia berkata, dagangan mungkin perlahan menjelang cuti umum Hari Kebangsaan.

"Sektor minyak dan gas menjadi tumpuan susulan peningkatan harga minyak. Malah, pelabur mungkin memberi perhatian kepada tema pemulihan berikutan perkembangan program vaksinasi yang berjalan lancar.

"Selain itu, sektor teknologi mungkin meraih daya tarikan susulan peningkatan semalaman di Nasdaq yang ditutup pada paras tertinggi susulan kenyataan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang memihak kepada kadar faedah rendah," katanya.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM8.43, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare meningkat 10 sen masing-masing kepada RM8.30 dan RM6.45, Tenaga Nasional naik 8.0 sen kepada RM10.46, dan Public Bank tidak berubah pada RM4.18.

Bagi saham aktif, KNM Group dan Green Ocean naik setengah sen masing-masing kepada 26.5 sen dan 3.5 sen, dan Impiana Hotels menokok 1.0 sen kepada 8.0 sen, namun Orion IXL turun 1.0 sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 63.80 mata kepada 11,624.33, Indeks FBMT 100 tinggi 64.95 mata kepada 11,338.33, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 74.66 mata kepada 12,754.02.

FBM 70 menambah 53.81 mata kepada 15,024.15 dan FBM ACE meningkat 16.77 mata kepada 7,231.64.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 10.34 mata kepada 6,784.02, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 58.04 mata kepada 15,544.94 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.45 mata kepada 198.01.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ALRICH 0.035
BURSA 7.460
IHH 6.030
KNM 0.085
MAGMA 0.210
PBBANK 4.210
TENAGA 11.240

Comments

Login to comment.