Nuraslina CEO baharu Theta Edge

BeritaHarian Wed, Sep 08, 2021 03:06pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Theta Edge Bhd melantik Nuraslina Zainal Abidin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusinya, Datuk Noordin Sulaiman, berkata pelantikan berkenaan adalah bagi menggantikan A. Shukor S.A. Karim yang bersara pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 syarikat itu pada 28 Jun lalu.

"Dengan pelantikan Nuraslina sebagai CEO Kumpulan yang baharu, beliau akan mengetuai transformasi dan penciptaan nilai syarikat memandangkan kami memacu pemulihan segera dan seterusnya menerapkan strategi untuk pertumbuhan jangka panjang dan kelestarian," katanya dalam satu kenyataan.

Nuraslina, 46, pernah berkhidmat sebagai CEO Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, anak syarikat Dagang Nexchange Bhd serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis Group Sdn Bhd.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Sains Malaysia.

Menerusi kepimpinannya dalam meneraju aspek transformasi digital dan pengoptimuman perniagaan, beliau berjaya memberikan nilai dan penjimatan lebih AS$150 juta kepada pelanggannya.

Nuraslina berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang transformasi dan pengoptimuman proses perniagaan syarikat berprestasi tinggi.

Beliau turut menerajui pelbagai projek mega teknologi kerajaan dan terbabit dalam penghasilan inisiatif strategik untuk transformasi

digital.

Selain itu, beliau dianugerahkan beberapa pengiktirafan di atas usahanya sebagai usahawan dan usahawan tekno, serta adalah fasilitator di peringkat kebangsaan termasuklah antarabangsa.

Corak kepimpinannya yang berwawasan dan bertranformasi menjadikan beliau sebagai ikon yang dikenali dalam bidang perubahan perniagaan, pembangunan, dan peningkatan prestasi.

Dengan pelantikan Nuraslina sebagai CEO Kumpulan, status Jawatankuasa Eksekutif dibubarkan serta-merta.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

DNEX 0.390
THETA 1.530

Comments

Login to comment.