Dagangan Bursa Malaysia berakhir kukuh

BeritaHarian Wed, Sep 08, 2021 06:54pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi hariannya hari ini, mendapat rangsangan daripada belian minit-minit akhir dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui Press Metal Aluminium Holdings Bhd dan MISC Bhd, kata peniaga.

Press Metal dan MISC menyumbang sejumlah 4.92 mata kepada indeks utama.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 14.15 mata untuk ditutup kepada 1,597.63 daripada paras penutup 1,583.48 pada Selasa.

Selepas dibuka rendah susut 1.76 mata kepada 1,583.48 FBM KLCI bergerak antara paras 1,579.18 dan 1,597.63 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 707 berbanding 374, manakala 426 kaunter tidak berubah, 730 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan tinggi sebanyak 5.91 bilion unit bernilai RM3.23 bilion berbanding 4.75 bilion unit bernilai RM2.89 bilion pada Selasa.

Pada sesi tengah hari, dagangan di Bursa Malaysia mencatatkan prestasi turun naik.

"Bursa tempatan meneruskan penurunannya daripada sesi tengah hari, diseret turun oleh jualan dalam saham wajaran tinggi yang diterajui sektor penjagaan kesihatan dan utiliti, tetapi belian minit-minit akhir telah membantu pasaran untuk ditutup kukuh," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ekuiti serantau kebanyakannya mencatatkan penurunan sejajar dengan peningkatan pengelakan risiko.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.12 peratus kepada 26,320.93, Indeks Straits Times Singapura turun 1.27 peratus kepada 3,069.16 dan Kospi Korea Selatan berkurangan 0.77 peratus kepada 3,162.99, manakala Nikkei 225 Jepun meningkat 0.89 peratus kepada 30,181.21.

"Berita mengenai bank-bank pelaburan utama di Wall Street mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap ekuiti Amerika Syarikat (AS) mungkin menjejaskan sentimen pasaran.

"Ini terutama apabila data senarai gaji bukan ladang AS bagi bulan Ogos turun kepada 235,000 berbanding 1.05 juta pada bulan sebelumnya membayangkan pemulihan pasaran buruh yang lemah, yang sekali gus mencerminkan sentimen proses pemulihan akan terus terjejas oleh peningkatan semula kes COVID-19," katanya.

Sentimen itu menjejaskan prestasi FBMKLCI, disebabkan terutama penurunan dalam kaunter berkaitan sarung tangan getah.

"Bagaimanapun, saham syarikat telekomunikasi, perladangan dan perbankan mencatatkan prestasi positif, mengurangkan tekanan menurun pasaran," katanya.

Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals meningkat empat sen setiap satu masing-masing kepada RM8.31 dan RM8.09, Public Bank naik lima sen kepada RM4.15, IHH Healthcare menokok 10 sen kepada RM6.40 manakala Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM10.30.

Dalam kalangan kaunter cergas, KNM susut lima sen kepada 26.5 sen, PUC meningkat satu sen kepada 17.5 sen, Fintec naik setengah sen kepada 2.5 sen, manakala Borneo Oil dan Metronic tidak berubah masing-masing pada tiga sen dan 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 64.94 mata kepada 11,665.30, Indeks FBMT 100 meningkat 78.17 mata kepada 11,364.45 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 78.17 mata kepada 12,788.33.

FBM 70 menambah 16.84 mata kepada 15,240.52 manakala FBM ACE susut 108.22 mata kepada 7,252.08.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 107.29 mata kepada 6,728.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 88.36 mata kepada 15,526.44 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.33 mata kepada 202.61.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.83 bilion saham bernilai RM2.85 bilion daripada 3.28 bilion saham bernilai RM2.54 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 377.15 juta unit bernilai RM53.53 juta berbanding 330.70 juta unit bernilai RM50 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 1.71 bilion saham bernilai RM337.99 juta daripada 1.13 bilion saham bernilai RM296.22 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 414.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.44 bilion), pembinaan (200.55 juta), teknologi (216.71 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.73 juta), hartanah (197.38 juta), perladangan (32.31 juta), REIT (10.92 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (1.01 bilion), penjagaan kesihatan (105.52 juta), telekomunikasi dan media (56.14 juta), pengangkutan dan logistik (55.31 juta) dan utiliti (19.15 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BORNOIL 0.005
BURSA 7.450
IHH 6.240
MISC 7.870
PBBANK 4.210
PMETAL 5.380
PUC 0.055
TENAGA 11.720

Comments

Login to comment.