Bursa Malaysia tingkat perhubungan pelabur

BeritaHarian Tue, Sep 14, 2021 08:24pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melaksanakan program insentif perhubungan pelabur dan awam untuk mempertingkatkan keterlihatan dan kebolehcapaian syarikat senaraian awam (PLC) kepada komuniti pelaburan menerusi kerjasama perhubungan pelabur yang lebih aktif.

Pengendali bursa itu berkata, PLC yang menyertai program rintis itu akan menjalani latihan selama setahun untuk memperkukuh kemampuan perhubungan pelabur dalaman mereka ke arah kerjasama perhubungan pelabur yang lebih berkesan.

Skop program perhubungan pelabur dan awam itu merangkumi antaranya membantu PLC dan pengurusan kanannya dengan persediaan slaid pembentangan korporat dan lembaran fakta, merancang dan menganjurkan taklimat pelabur dengan penganalisis dan pengurus dana, di samping membantu menerusi langkah perhubungan awam seperti kenyataan dan temu bual media.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata penting untuk PLC membangunkan hubungan erat dengan pemegang saham yang berpotensi dan sedia ada, selain mengadakan komunikasi yang berkesan dengan semua pihak berkepentingan mengenai pencapaian ekuiti dan azam mereka.

"Berbuat demikian secara konsisten akan membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan secara bermaklumat, yang mana adalah komponen penting untuk kejayaan syarikat dalam pasaran pelaburan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, program itu bukan hanya membantu PLC mengenal pasti nilai perhubungan pelabur malah membantu memasarkan dan mempromosikan daya tarikan mereka sebagai pelaburan berdaya maju, berpotensi meningkatkan profil, penilaian dan mudah tunai PLC.

Program berkenaan adalah tumpuan strategik Bursa Malaysia bagi penambahbaikan ekosistem, yang bertujuan mengembangkan kerancakan pasaran dan mudah tunai di samping menyediakan platform pengumpulan modal yang kondusif kepada PLC sedia ada.

Setakat 1 September, dua PLC iaitu Ge-Shen Corporation dan Excel Force MSC Bhd mengadakan taklimat perhubungan pelabur masing-masing, sekali gus memperoleh minat yang tinggi dan penyertaan lebih 130 orang meliputi pengurus dana, penganalisis dan pelabur institusi.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
EFORCE 0.355
GESHEN 3.400

Comments

Login to comment.