CEKD sasar peningkatan eksport serantau

BeritaHarian Fri, Sep 17, 2021 03:28pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: CEKD Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia akhir bulan ini bercadang mempertingkatkan pendapatan eksportnya dengan memanfaatkan pelanggan sedia ada yang mempunyai perniagaan di Asia Tenggara.

Pengarah Urusannya, Yap Kai Ning, berkata syarikat akan menyertai pameran perdagangan dan mengadakan sesi demonstrasi produk kepada pelanggan sedia ada dan berpotensi untuk meningkatkan kesedaran terhadap produknya dan profil CEKD di luar negara.

Beliau berkata, CEKD juga akan melabur dalam dua kilang baharu yang akan memantapkan dan menjajar operasi anak syarikatnya, Hotstar (M) Sdn Bhd serta meningkatkan produktiviti.

"Kami juga akan melabur dalam mesin baharu dan menaik taraf perisian komputer untuk mempertingkatkan kemampuan pengeluaran, automasi sesetengah proses pengeluaran yang boleh memenuhi pertumbuhan masa depan perniagaan.

"Kemajuan teknologi menerusi penggunaan teknologi baharu akan memacu permintaan daripada pasaran pengguna akhir, terutama kertas dan percetakan serta produk industri elektrik dan elektronik (E&E)," katanya kepada BH.

CEKD adalah penyedia penyelesaian rumusan pemotongan acuan serta pengeluar acuan pemotong dan pedagang alatan dan aksesori boleh digunakan.

Ia adalah syarikat pegangan pelaburan dengan tiga anak syarikat milik penuh iaitu Sharp Die Cutting Mould Sdn Bhd dan Hotstar masing-masing di Kuala Lumpur serta Focuswin Diecutting Mould Sdn Bhd di Prai, Pulau Pinang.

Kai Ning berkata, pertumbuhan dalam e-pembungkusan adalah sesuatu yang akan diterokai kerana terdapat kesedaran dan minat bagi pembungkusan mesra alam sekitar.

Beliau berkata, walaupun pandemik, syarikat terus melihat prospek cerah dalam industri dan akan mengambil kesempatan peluang yang ada dalam pasaran bagi memanfaatkan permintaan pengguna akhir.

Mengenai tinjauan syarikat bagi tahun ini dan tahun depan, beliau berkata permintaan untuk produk acuannya bergantung kepada sentimen pengguna.

"Syarikat menjangkakan permintaan akan berkembang berikutan pemulihan ekonomi Malaysia dan sentimen pengguna stabil sejajar dengan pertumbuhan dalam pekerjaan," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan 2020, CEKD mencatatkan pendapatan sebanyak RM28.37 juta dan RM26.36 juta.

Malaysia adalah pasaran terbesar CEKD dengan menyumbang lebih 80 peratus kepada pendapatan syarikat sementara bakinya disumbangkan pendapatan daripada luar negara.

Mengikut Laporan IMR, industri pembuatan alatan pemotongan acuan dijangka berkembang sebanyak 3.2 peratus kepada RM261.04 juta menjelang 2025 berbanding RM216.52 juta pada 2019, katanya.

CEKD menyasar untuk menjana RM24.28 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan RM8.8 juta daripadanya akan digunakan untuk pengambilalihan kilang.

IPO itu membabitkan 50.59 juta saham baharu pada harga terbitan 48 sen sesaham, yang mana sebanyak 9.73 juta saham baharu ditawarkan untuk permohonan rakyat Malaysia; 9.73 juta diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan; 6.81 juta saham baharu secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 24.32 juta saham secara penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO itu ialah M&A Securities Sdn Bhd.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
CEKD 0.485

Comments

Login to comment.