EcoWorld catat untung bersih RM35.15 juta

BeritaHarian Fri, Sep 17, 2021 08:25pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keuntungan bersih rendah sedikit sebanyak RM35.15 juta dalam suku ketiga yang berakhir pada 31 Julai 2021 daripada RM35.83 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatannya susut kepada RM448.91 juta daripada RM477.87 juta.

Pemaju hartanah itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, projek utama yang menyumbang kepada hasil pada suku berkenaan ialah Eco Majestic, Eco Forest dan Eco Sanctuary di Lembah Klang, Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Summer, Eco Business Park II, Eco Tropics dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia serta Eco Terraces di Pulau Pinang.

"Meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei 2021 dan diikuti PKP penuh pada Jun 2021, hasil hanya turun sedikit berbading suku ketiga tahun kewangan 2020 sebanyak 6.1 peratus.

"Ini disebabkan terutamaa ebih banyak hartanah siap atau hampir siap berjaya dijual kumpulan pada suku semasa yang membolehkan peratusan penuh hasil diambil kira segera selepas selesai jualan unit," kata syarikat itu.

EcoWorld berkata, jumlah sumbangan daripada usaha sama di Malaysia iaitu Eco Grandeur, Eco Business Park V, Eco Horizon, Eco Ardence dan Bukit Bintang City Centre (BBCC), susut 30.3 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2021 berbanding tempoh yang sama pada 2020 apabila kemajuan di tapak pembinaan menjadi perlahan berikutan sekatan ditambah dengan penyiapan pembangunan Fasa 1 Eco Horizon pada suku pertama 2021.

Syarikat itu berkata, sumbangan daripada EcoWorld International Bhd juga rendah pada suku semasa berikutan serahan unit terjual yang rendah kepada pelanggan di Yarra One di Melbourne, Australia dan bahagian keputusan rendah daripada usaha samanya di United Kingdom disebabkan semakan semula margin projek.

"Kumpulan dan usaha samanya di Malaysia merekodkan jualan sebanyak RM3.11 bilion pada Ogos, membolehkan kumpulan melepasi sasaran jualan tahun penuhnya bagi tahun kewangan 2021 sebanyak RM2.88 bilion," katanya.

EcoWorld berkata, banyak projeknya telah matang dengan sebahagian besar infrasturktur utama dan kemudahan gaya hidup telah siap semasa fasa pembangunan awal, membolehkan aliran tunai bersih tinggi diperoleh semula daripada pelancaran setiap fasa pertama dalam projek-projek ini.

"Selain aliran masuk tunai yang besar yang terus dijana daripada jualan tinggi, terutamanya daripada stok yang telah siap dan hampir siap, nisbah tahap kadar hutang kasar dan bersih mencatatkan penambaikan masing-masing kepada 0.63 kali dan 0.51 kali setakat 31 Julai," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
ECOWLD 1.470
MATANG 0.090

Comments

Login to comment.