MCB dapat pembiayaan ambil alih 10 syarikat simen

BeritaHarian Thu, Sep 23, 2021 02:31pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Malayan Cement Bhd (MCB) memperoleh kemudahan Islam bernilai RM2 bilion yang akan digunakan untuk membiayai pengambilalihan 10 syarikat dalam sektor simen dan konkrit siap campur di Malaysia daripada syarikat induk, YTL Cement Bhd.

Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia dilantik sebagai penaja jamin dan pengatur utama bersama kemudahan pembiayaan berjangka bersindiket Islam berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah itu.

MCB akan menggunakan kemudahan Islam ini untuk membiayai pertimbangan tunai bagipengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti 10 syarikat dan anak syarikat masing-masing daripada YTL Cement untuk jumlah pertimbangan yang dianggarkan RM5.2 bilion.

Pengarah Urusan YTL Cement dan MCB, Yeoh Sock Siong, berkata usaha pengambilalihan oleh MCB akan membolehkannya memperkemas dan meningkatkan kecekapan operasi dalam memanfaatkan sumber, kepakaran serta pengalaman masing-masing.

"Penggabungan ini akan membantu kami mencapai skala ekonomi, meningkatkan kehadiran pasaran, mengurangkan fungsi pertindihan dan akhirnya memberikan penyelesaian yang lancar kepada pelanggan.

"Kami gembira atas pencapaian utama yang akan membawa syarikat maju selangkah kehadapan dalam merealisasikan rancangan pertumbuhan bagi MCB.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia atas kerjasama mereka ketika syarikat menempuhi fasa baharu dalam perjalanan korporat," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Fad'l Mohamed, berkata bank berbangga di atas kepercayaan yang diberikan kepada untuk mengambil bahagian dalam transaksi penting ini.

"Kami berharap untuk bekerjasama lebih lanjut dengan MCB apabila syarikat meneruskan perjalanan transformatif sebagai salah satu daripada perintis industri dalam bahan binaan tempatan," katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, pula berkata bank berbesar hati menyokong keperluan pembiayaan MCB bagi transaksi berkenaan.

"Kami menggunakan keupayaan pembiayaan Islam dalam membantu MCB memenuhi aspirasi perkembangannya," katanya.

MCB, yang sebelum ini dikenali sebagai Lafarge Malaysia Bhd disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Kegiatan utama MCB adalah sebagai syarikat pegangan pelaburan.

Melalui anak syarikatnya, MCB terbabit dalam pengeluaran, pembuatan dan perdagangan simen, klinker,konkrit siap campur dan bahan binaan lain serta produk berkaitan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.440
MCEMENT 5.000
YTL 2.620

Comments

Login to comment.