Pan Malaysia beli 51 peratus saham A&W Malaysia

BeritaHarian Thu, Sep 23, 2021 08:33pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Pan Malaysia Corp Bhd memeterai perjanjian jual dan beli bersama Inter Mark Resources Sdn Bhd (IMR) untuk mengambil alih 31.62 juta saham, atau 51 peratus kepentingan dalam A&W (M) Sdn Bhd (A&W Malaysia).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pan Malaysia berkata cadangan pembelian itu, yang bernilai RM21.04 juta, akan dilaksanakan menerusi gabungan tunai berjumlah RM11.57 juta dan pemindahan 63.11 juta sahamnya pada harga 15 sen sesaham, berjumlah RM9.47 juta.

Harga pemindahan 15 sen sesaham itu mewakili premium 25 peratus kepada purata wajaran harga pasaran lima hari iaitu 12 sen.

Pan Malaysia berkata, penjualan akan dimuktamadkan dengan syarat IMR mendapat kebenaran daripada A Great American Brand International Pte Ltd (AGABI) untuk menamatkan perjanjian francais antarabangsa dan perjanjian pembangunan bertarikh 1 Julai 2019 yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Katanya, ia juga bersyarat dengan pelaksanaan perjanjian francais antarabangsa serta perjanjian pembangunan baharu antara AGABI dan A&W Malaysia, selain IMR menguruskan perniagaan A&W Malaysia mengikut syarat yang dipersetujui antara IMR, A&W Malaysia dan Pan Malaysia.

"Pihak-pihak terbabit dijangka memuktamadkan urus niaga dalam tempoh enam bulan daripada tarikh perjanjian jual dan beli atau pada tarikh IMR dan Pan Malaysia bersetuju secara bersama.

"Sebaik pengambilalihan dimuktamadkan, Pan Malaysia akan memegang 51 peratus kepentingan dalam A&W Malaysia manakala IMR akan memegang baki 49 peratus kepentingan ekuiti dalam rangkaian restoran makanan segera itu.

"Selain itu, A&W Malaysia akan menjadi pemaju induk dan francaisi eksklusif francais A&W di Malaysia," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
PMCORP 0.190

Comments

Login to comment.