AEON terus beri sokongan kepada PMKS

BeritaHarian Thu, Oct 07, 2021 03:09pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: AEON Group Malaysia (AEON) meneruskan usaha membantu serta menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus mengukuhkan ekosistem keseluruhan rantaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AEON, Shafie Shamsuddin, berkata pemerkasaan ekosistem rantai bekalan adalah fokus utama kumpulan bagi membolehkan lebih banyak PMKS mendapat keuntungan sambil pada masa mempelbagaikan tawaran produk AEON.

Beliau berkata, bagi merealisasikan usaha itu, AEON merangka pelbagai inisiatif sokongan seperti AEON Prihatin, iaitu program pembangunan dan sokongan komuniti yang dijalankan dengan menawarkan platform perniagaan kepada PMKS mengembangkan perniagaan bersamanya; Makan@AEON, iaitu khidmat penghantaran makanan dengan kerjasama peniaga kecil; serta myAEON2go, platform penghantaran barangan dalam talian.

Selain itu, katanya AEON Credit Service (M) Bhd turut memberikan pembiayaan bantuan kewangan kepada PMKS, perancangan AEON untuk mendapatkan lesen bank digital akan juga membantu mengukuhkan ekosistem terbabit.

"Bank digital AEON akan memberikan kemudahan pembiayaan lebih segar, menyokong kehendak PMKS yang memerlukan bantuan kewangan.

"Ini kerana, AEON ingin berkembang bersama semua pihak memandangkan kami percaya kejayaan bersama akan memberikan impak yang lebih besar.

"Pengukuhan ekosistem secara bersama itu juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selain meningkatkan daya saing PMKS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sambutan ulang tahun yang ke-37 AEON di Malaysia yang diadakan di Pusat Beli Belah AEON Mall AU2, Setiawangsa.

Majlis dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai ulang tahun ke-37, Shafie berkata sejak memulakan operasi pertama pada 1985, AEON kini terus berkembang pesat dan beroperasi di Malaysia melalui lapan anak cabang perniagaan di bawahnya iaitu AEON CO. (M) BHD; AEON BiG (M) Sdn Bhd; AEON Credit Service (M) Bhd; AEON Delight Sdn Bhd; AEON Fantasy (M) Sdn Bhd; AEON TopValu (M) Sdn Bhd; AEON Global Supply Chain Sdn Bhd dan Yayasan AEON Malaysia.

Beliau berkata, AEON kini mempunyai sekitar 17,000 pekerja, 4,000 penyewa dan rakan niaga serta lebih daripada dua juta pemegang kad AEON Member Plus.

"Kami amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyambut ulang tahun ke-37 ini. Pelbagai cabaran kami tempuhi namun AEON terus berkembang melalui hasil usaha inovatif disertai semangat dan iltizam yang tinggi hasil sokongan warga kerja juga ekosistem.

"Kumpulan juga bersyukur kerana AEON diberikan sayap untuk melebarkan operasinya sejak 37 tahun yang lalu oleh kerajaan dengan hasilnya kini dapat dinikmati oleh semua pemegang taruh di dalam ekosistem AEON," katanya.

Sempena sambutan ulang tahun, AEON memperkenalkan Kempen 10.10 dari 8 hingga 17 Oktober 2021 melalui aplikasi myAEON2go bermula jam 10 pagi hingga 8 malam dengan menawarkan diskaun sehingga 10 peratus.

Pelanggan AEON juga berpeluang menyertai peraduan 'Teka & Menang' dengan mengira sayap yang tertera di lukisan Wan Jamila atau Artjamila dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM37,000.

AEON mula bertapak di Malaysia pada September 1984 dengan penubuhan Jaya Jusco Stores Sdn Bhd (Jaya Jusco), seiring denngan langkah kerajaan membantu memodenkan industri peruncitan negara dengan menggunakan kepakaran pengurusan peruncitan termaju di Asia.

Cawangan pertama dibuka pada 1985 bertempat di Bangunan Dayabumi, Kuala Lumpur.

Beribu pejabat di Jepun dengan nama Japan United Stores Company (JUSCO), Jaya Jusco kemudiannya dikenali sebagai AEON Co (M) Bhd pada 2004.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AEON 1.090
AEONCR 7.000
MENANG 0.630

Comments

Login to comment.