Bursa Malaysia melonjak buat hari keempat

BeritaHarian Fri, Oct 08, 2021 07:00pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikannya untuk hari keempat berturut-turut pada akhir dagangan Jumaat berikutan sentimen positif pasaran susulan pengukuhan harga komoditi serta jangkaan optimis terhadap pemulihan ekonomi yang meningkatkan selera pelabur terhadap ekuiti dan aset berisiko, kata peniaga.

Ketika mengakhiri dagangan minggu ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.61 mata kepada 1,563.9 berbanding 1,561.29 pada akhir dagangan Khamis.

Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 0.86 mata kepada 1,562.15, turut turun naik dalam jajaran 1,558.56 hingga 1,567.3 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Press Metal muncul kaunter paling untung dalam kalangan kaunter berkaitan indeks dengan mencatat peningkatan sebanyak 3.22 peratus dan menyumbang 2.754 mata terhadap indeks komposit.

Saham-saham syarikat pelebur aluminium itu melonjak 19 sen kepada RM6.09 dengan sejumlah 8.16 juta saham saling berpindah tangan berikutan jangkaan ia berkemungkinan meraih manfaat susulan peningkatan harga aluminium dan lonjakan dalam kapasiti peleburan berikutan pengembangan projek Samalaju.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 610 berbanding 452 manakala 439 kaunter lain tidak berubah, 768 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.99 bilion unit bernilai RM3.34 bilion daripada 4.09 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI telah melepasi paras rintangan 1,550 dan aliran kenaikan itu dijangka berterusan ke arah paras rintangan berikut pada 1,580 dan diikuti dengan paras psikologi pada 1,600.

"Sentimen pasaran bertambah baik (berikutan harga komoditi yang lebih kukuh) dan turut didorong oleh aliran peningkatan dalam pasaran serantau yang menjadikan sentimen pelabur lebih positif," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sokongan segera adalah pada paras 1,550 dan seterusnya pada 1,530.

Pak Leng juga menyifatkan saham-saham perladangan kekal sebagai pilihan pada masa ini berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM).

"Sebahagian besar penganalisis masih belum menyemak naik unjuran MSM masing-masing dan harga semasa komoditi itu adalah lebih tinggi daripada apa dijangkakan mereka.

"Oleh itu, peluang bagi syarikat-syarikat perladangan ini mengatasi unjuran penganalisis juga amat tinggi dan menyaksikan pelabur mengambil kedudukan masing-masing bagi meningkatkan lagi pembelian," katanya.

Harga MSM juga diunjur mencecah satu lagi paras tertinggi pada Jumaat dengan kontrak penanda aras minyak sawit bagi Disember 2021 setakat ini diniagakan pada 4,937.0 satu tan berbanding RM4,872 satu tan pada akhir dagangan Rabu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM8.05, RM4.08, RM8.68 dan RM6.63 manakala TNB susut dua sen kepada RM9.71 dan CIMB meraih empat sen kepada RM4.90.

Bagi saham aktif, SC Estate susut lima sen kepada 11.5 sen, Freight Management naik 20 sen kepada RM1.06, Opcom menambah 16 sen kepada RM1.62 dan CEKD menokok 18 sen kepada 80 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.54 mata kepada 11,501.76, Indeks FBMT 100 naik 27.25 mata kepada 11,158.17, Indeks FBM Emas Syariah meraih 31.5 mata kepada 12,639.69, FBM 70 melonjak 70.57 mata kepada 15,095.42 dan FBM ACE menambah 3.32 mata kepada 7,140.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 13.22 mata kepada 15,212.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.81 mata kepada 209.46 manakala Indeks Perladangan menokok 4.14 mata kepada 6,965.03.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.27 bilion saham bernilai RM2.71 bilion daripada 2.63 bilion saham bernilai RM2.55 bilion pada Khamis.

Jumlah waran susut kepada 448.28 juta unit bernilai RM67.58 juta berbanding 489.5 juta unit bernilai RM76.37 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.28 bilion bilion saham bernilai RM561.33 juta daripada 964.77 juta saham bernilai RM263.87 juta sebelumnya.

Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 623.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (835.38 juta), pembinaan (11.57 juta), teknologi (280.31 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.15 juta), hartanah (195.86 juta), perladangan (51.67 juta), REIT (6.3 juta), dana/tutup (74,700), tenaga (553.47 juta), penjagaan kesihatan (68.13 juta), telekomunikasi dan media (30.83 juta), pengangkutan dan logistik (446.16 juta) dan utiliti (13.05 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
CEKD 0.480
PBBANK 4.210

Comments

Login to comment.