Aktiviti ambil untung, Bursa Malaysia ditutup rendah

BeritaHarian Thu, Oct 14, 2021 06:28pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) – Bursa Malaysia susut ketika mengakhiri dagangan Khamis dengan indeks petunjuk utama menguncup sebanyak 0.49 peratus susulan aktiviti pengambilan untung selepas pasaran itu mencatat peningkatan selama tujuh hari berturut-turut.

Prestasi pasaran itu turut diheret turun oleh terutamanya saham-saham wajaran tinggi perbankan, perladangan, minyak dan gas, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng.

Pada 5 petang ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 7.86 mata kepada 1,592.52 daripada 1,600.38 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu urus niaga dibuka pagi ini, indeks utama itu meraih 1.28 mata kepada 1,601.66 – paras tertinggi untuk hari ini namun susut kepada 1,588.63 dalam dagangan kemudiannya.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 531 berbanding 453 manakala 444 kaunter lain tidak berubah, 864 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.17 bilion unit bernilai RM2.85 bilion daripada 4.49 bilion unit bernilai RM3.34 bilion pada Rabu.

Menurut Thong, prestasi minyak sawit mentah (MSM) pula terus mengetepikan jangkaan ramai apabila harganya melepasi paras RM5,000 satu tan.

"Kami percaya ini masih memberi sokongan bagi aliran peningkatan saham-saham perladangan, sekali gus memberi peluang bagi pembelian saham berkenaan.

"Bersandarkan sokongan jumlah dagangan pasaran yang kukuh, pembelian asing dan peningkatan pendapatan korporat susulan pembukaan semula ekonomi, kami percaya indeks utama Bursa Malaysia akan terus meningkat dan dijangka mencecah jajaran sekitar paras 1,595-1,605 dalam tempoh menghampiri hujung minggu ini," katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut satu sen kepada RM8.28 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.19, Petronas Chemicals untung satu sen kepada RM8.76 dan IHH Healthcare naik dua sen kepada RM6.76.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik jatuh 2.5 sen kepada 38.5 sen, Kanger Inetrnational berkurangan setengah sen kepada 5.5 sen dan Hiap Teck meraih empat sen kepada 66 sen.

Kaunter paling rugi menyaksikan PMB Technology susut 44 sen kepada RM14.06, Petronas Dagangan turun 40 sen kepada RM19.60 dan Opcom berkurangan 35 sen kepada RM1.32.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 31.75 mata kepada 11,710.16, Indeks FBMT 100 berkurangan 37.83 mata kepada 11,350.66, Indeks FBM Emas Syariah susut 22.26 mata kepada 12,808.59, FBM 70 menambah 19.96 mata kepada 15,310.07 dan FBM ACE susut 36.99 mata kepada 7,161.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 61.57 mata kepada 15,655.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.49 mata kepada 212.16 dan Indeks Perladangan merosot 101.22 mata kepada 6,996.85.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.94 bilion saham bernilai RM2.47 bilion berbanding 3.30 bilion saham bernilai RM3.03 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Selain itu, jumlah waran susut kepada 198.00 juta unit bernilai RM18.84 juta berbanding 238.27 juta unit bernilai RM17.53 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.02 bilion saham bernilai RM356.01 juta daripada 938.35 juta saham bernilai RM284.93 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian menyumbang sebanyak 579.81 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (931.02 juta), pembinaan (103.44 juta), teknologi (353.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.08 juta), hartanah (24.57 juta), perladangan (41.08 juta), REIT (9.22 juta), dana/tertutup (27,300), tenaga (470.23 juta), penjagaan kesihatan (46.40 juta), telekomunikasi dan media (23.45 juta), pengangkutan dan logistik (63.77 juta) serta utiliti (12.48 juta).

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
IHH 6.050
PBBANK 4.220
PETDAG 21.580
PMBTECH 2.660

Comments

Login to comment.