Bank Rakyat lancar 'Kempen Emas 2 Kilo'

BeritaHarian Mon, Oct 18, 2021 05:51pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat sekali lagi melancarkan 'Kempen Emas 2 Kilo' yang berkonsepkan 'Gadai dan Menang' bermula 15 Oktober 2021 hingga 15 Januari 2022.

Menerusi satu kenyataan, Bank Rakyat berkata kempen ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-Rahnu selain menggalakkan pajak gadai berlandaskan Syariah.

"Antara tarikan utama pada kali ini ialah tiada had minimum dan tempoh gadaian bagi melayakkan pelanggan menyertai kempen ini.

"Jumlah keseluruhan hadiah berupa dua kilogram emas bernilai lebih RM500,000 ditawarkan kepada 101 pemenang iaitu satu kilogram emas bagi pemenang hadiah utama dan 10 gram emas setiap seorang bagi hadiah sagu hati untuk 100 pemenang," katanya hari ini.

Bank Rakyat turut menyasarkan kenaikan pengeluaran pembiayaan Pajak Gadai-i sebanyak 20 peratus dan pertambahan pelanggan sebanyak dua peratus hingga lima peratus pada Disember 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat mengenai nilai emas sebagai aset berharga dan boleh digadaikan untuk membantu usahawan menangani situasi pasca pandemik COVID-19.

"Pembiayaan Pajak Gadai-i dapat membantu lebih ramai usahawan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta sebagai alternatif pembiayaan yang berupaya membangunkan perniagaan individu, khususnya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui aliran tunai segera sehingga RM350,000 dengan kadar keuntungan yang rendah," katanya.

Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat, pelanggan boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau menghubungi pusat panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MENANG 0.630

Comments

Login to comment.